Bekas naib presiden Pas, Datuk Husam Musa menyifatkan usaha terburu-buru Pas Kelantan untuk menjayakan Hudud sebagai salah satu cabang undang-undang negara gagal. Sebaliknya, kata Husam isu Hudud dijadikan Umno sebagai perangkap untuk memecahkan Pas dan Pakatan Rakyat.
“Pemimpin Pas beritahu, Umno kononnya nak luluskan tahun 2015 lalu. Mana dia Akta 355 sekarang?” tanyanya dalam dialog Husam bersama penyokong di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur malam tadi.
“Sekarang apa dah jadi. Semua senyap saja,” sambungnya.
Dalam sesi soal jawab itu juga Husam menjelaskan baiah terhadap Pas yang dibuat beliau dan lain-lain pemimpin yang kini bersama Parti Amanah Negara sudah terbatal selepas Pas berubah dan tidak lagi berpegang kepada perjuangan ketika baiah itu ditandatangani.
Menjelang dialog tersebut, media rasmi Pas, Harakahdaily melaporkan Adun Salor itu tidak terlepas dari baiahnya untuk meletakkan jawatan sebagai Adun selepas dipecat dari parti itu.
Menurut Harakahdaily, bukan sekadar melompat parti, sebaliknya seseorang wakil rakyat juga perlu meletakkan jawatan apabila dipecat keahlian sepertimana ikrar dalam baiah.
Anwar tidak tolak perjuangan rakyat
Dalam pada itu, Husam yakin surat panjang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pucuk pimpinan PKR yang hangat diperkatakan sejak Isnin lalu bukan bertujuan untuk menolak Tun Dr Mahathir secara total tetapi lebih bertujuan memastikan agenda reformasi yang diperjuangkan beliau sejak 1998 diperkukuhkan.
“Saya yakin Anwar tidak berniat begitu. Takkan Anwar nak confront 1.2 juta rakyat Malaysia yang menandatangani Deklarasi Rakyat,” kata Husam merujuk kepada 1.2 juta rakyat negara ini yang telah menandatangani Deklarasi Rakyat yang diusahakan bersama oleh Mahathir untuk mendesak Najib Razak turun dari jawatan perdana menteri.
Husam yakin, Anwar tidak berniat sedemikian ketika menulis surat itu.
Menurut Husam lagi, gerakan Selamatkan Malaysia kini sudah menjadi kuasa ketiga di negara ini yang benar-benar berkesan.
“Bukannya kuasa ketiga dikatakan oleh Pas itu, mana ada kuasa,” sindir Husam merujuk kepada kenyataan pemimpin Pas bahawa mereka membentuk kuasa ketiga apabila bergabung dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) pimpinan Kadir Sheikh Fadzil.
Dalam dialog itu juga, Husam yakin kesepakatan Pakatan Harapan akan bertambah dengan bantuan semua pihak untuk melihatnya bersatu padu.
“Kita kena pakat-pakat siram air biar sejuk. Kita jadikan perpecahan dalam Pas sebagi iktibar,” katanya. Malaysia dateline