Adun Salor yang dipecat daripada Pas, Datuk Husam Musa mengumumkan untuk memberi tumpuan terhadap 25 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Menyifatkan tempoh selepas pemecatan keahliannya dalam Pas pada 6 Mei lalu sebagai ‘dalam edah’, beliau memberitahu, akan mendekati segenap lapisan masyarakat di kawasan terbabit.
“Saya nak 25 DUN. Kalau saya dah bergerak, saya nak 25 kerusi DUN Kelantan menang. InsyaAllah. Kenapa 25 DUN? Kerana kesemua DUN ini saya sudah hitungkan bahawa Pas dan Umno atau Pas gabung dengan Umno dapat kita tewaskan,” tegasnya di program dialog anjuran Free Public Forum Malaysia (FPF) malam tadi.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya kesemua Adun dalam senarai kawasan berkenaan bersiap sedia tetapi pada masa sama mengakui tindakannya bukan untuk melakukan undi tidak percaya ke atas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
“Mana Adun yang dikalahkan kena bersiaplah macam Adun Wakaf Baru (Che Abdullah Mat Nawi). Kamu orang pertama pergi dahulu. Setuju tak? Hari ini pun dia akan kalah, kalau tuan-tuan tak balik pun. Dia akan kalah. InsyaAllah,” ujarnya kepada audien di Dewan Perhimpunan Kuala Lumpur – Selangor (KLSCAH).
Husam yang menyertai Pas sejak awal tahun 1980-an itu turut menempelak Che Abdullah yang sebelum ini dianggap menggunakan isu bai’ah sebagai modal untuk menakutkannya.
“Pada 6 Jun nanti, saya akan ada majlis ceramah pemecatan saya daripada Pas di Dun Wakaf Baru. Jadi Che Lah rasakan. Dia ada ‘ekor’ baiah, (katanya Husam) mesti letak jawatan, dia ingat saya takut,” selarnya.
Menjawab soalan seorang penonton Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan yang menggesa Husam mengisytiharkan diri memasuki Amanah, Husam memberitahu perlu ada tempoh waktu untuk tujuan tersebut.
“(Buat masa ini) saya kena bertenang, tidak boleh terburu-buru. Saya kena mengkaji, jangan bimbang saya tidak akan menghampakan cuma nak umum malam ini tak boleh, saya dalam edah lagi.
“Saya perlukan dua, tiga bulan untuk menemui orang ramai, mendapatkan sumber dana dan sukarelawan. Dahulu 20 tahun bersama (Almarhum) Nik Aziz di belakang saya ada jentera tenaga kerja.
“Sekarang saya tiada jentera itu. Saya tidak boleh terbang. Saya nak sayap, saya nak sukarelawan, saudara boleh beri pada Ilham Centre untuk saya kumpul dan lihat saya ini ada kekuatan atau tidak. Kalau saya seorang, saya tidak boleh buat perubahan,” tambah Husam lagi.
Sebelum ini, Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata akan mendedahkan senarai 10 wakil rakyat Pas yang akan menyertai Amanah selepas Husam menerima surat pemecatan ahli secara rasminya.
Untuk rekod, 32 daripada 45 Adun di Kelantan adalah dari Pas, BN (12) dan bakinya satu kerusi dari PKR. Malaysia dateline