Bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata peluang calon Pakatan Harapan (PH) untuk mendapat undi lebih besar berbanding calon Pas dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru dan Pas meletakkan calon maka keadaan akan menjadi sukar.
“Bagi saya Pakatan Harapan (PH) perlu bertanding di Kuala Kangsar. Kalau ada pertembungan 3 penjuru (dengan Pas) pun, biarkanlah. Seorang calon dari PH akan mempunyai lebih peluang untuk menewaskan calon BN berbanding calon PAS,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau juga berpendapat jika calon PH adalah seorang yang ‘heavyweight’ (calon yang terkenal dan berwibawa) maka peluang PH untuk merampas kerusi Kuala Kangsar memang ada.
Selain itu, katanya, isu-isu di sekeliling BN amat panas kebelakangan ini. Isu-isu seperti ‘1MDB’, ‘kos sara hidup yang semakin meningkat’ dan ‘GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) adalah isu-isu yang hangat dan memang sudah diketahui ramai.
“Oleh itu, ahli-ahli Pakatan yang berkempen di Kuala Kangsar tidak perlu mengulas panjang-lebar berkenaan dengan topik-topik tersebut,” sambungnya.
Nizar berkata, sesiapa sahaja calon dari PH, calon tersebut akan mendapat sokongan penuh dari semua rakan komponen dalam Pakatan. Justeru, tidak timbul persoalan sokongan yang berbelah-bahagi. Kalau calon Amanah yang akan bertanding, maka DAP dan PKR akan memberi bantuan yang sepenuhnya.
“Kita tidak perlu pedulikan PAS kerana PAS bukan sebahagian dari Pakatan. Yang penting Pakatan tidak terpecah belah dalam menghadapi PRK ini,” katanya.