Meskipun Pakatan Rakyat (PR) belum berjaya meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor kerana tidak mendapat sokongan ahli dewan dari Barisan Nasional (BN) namun perbahasan sepanjang hari semalam telah mendedahkan tembelang BN yang selama ini memperlekehkan institusi Raja-Raja Melayu.
Para pemerhati politik bersetuju kualiti perbahasan yang dibawa oleh ahli dewan PR adalah antara yang terbaik pernah didengar di Dewan Negeri Selangor. Manakala ahli dewan BN tidak berupaya mengemukakan hujah yang bernas dalam menyanggah hujah PR. Ahli dewan BN lebih berminat bermain di sekitar isu yang menyentuh emosi tetapi tidak mahu mengemukakan fakta berasas.
Pendedahan ADUN Sri Muda Suhaimi Shafei mengenai penghinaan dan penderhakaan Umno terhadap institusi Raja-Raja Melayu amat lengkap dan memalukan BN. Beliau menyebut 14 insiden penderhakaan yang selama ini tidak pernah diambil tindakan undang-undang tetapi pemerintah BN lebih berminat mengambil tindakan undang-undang ke atas pemimpin PR walaupun tidak menderhaka.
“Umno bukan sahaja lidah bercabang dua tetapi tiga atau empat demi untuk kepentingan politik semasa mereka. Ada 14 penderhakaan Umno terhadap institusi raja-raja. Pertama, pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar dibuang dari istana Johor pada 1920 kerana mengkritik Sultan Johor secara terbuka atas isu harta.
“Kedua, 1974 Tan Sri Ghazali Jawi, bapa Datuk Tajol Rosli tidak mahu meletak jawatan sebagai MB Perak walaupun perjanjian asal dia hanya pegang jawatan selama 2 tahun. Apabila sampai waktu tak mahu lepas, akibatnya Almarhum Sultan Idris murka dan bernazar tidak akan bercukur jambang selagi Ghazali tidak letak jawatan. Bukankan ini derhaka namanya. Bagaimana Tajol Rosli boleh berkata (Utusan 12/2/2009) Umno tak pernah ucap seperti yang disebut Nizar di (istana) Perak (sembah derhaka)
“Ketiga, 1979 kes Datuk Rahim Bakar, bekas Menteri Besar Pahang yang berselisih faham dengan Sultan Pahang. Media pro Umno ketika itu mengkritik Sultan Pahang secara terbuka. Pada tahun 1983 Umno hendak meminda kuasa Yang Dipertuan Agong mengenai perisytiharan darurat dikurangkan, maka Umno membelasah Raja-Raja Melayu ketika itu apabila menolak cadangan pindaan tersebut.
“Pada 1991 dalam Persidangan Agung Umno, Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah dalam pilihan raya 1990. Perwakilan dalam Persidangan Agung Umno juga pernah meminta harta raja-raja disiasat
“Ketujuh, demonstrasi dan menghantar memorandum kepada Sultan Kelantan pernah dibuat tetapi FRU tidak pula menembak gas pemedih mata.
“Pada 18 Januari 1993 pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan raja dibawa ke mahkamah. Apabila Raja-Raja Melayu meminta perlembagaan itu ditangguhkan mata Utusan dan media pro Umno lain mengkritik secara terbuka dan mendedahkan salah laku raja-raja. Apakah ini bukan derhaka?
“Beberapa siri rapat umum haram dilakukan oleh Umno di Alor Setar, Bagan Datuk, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjukkan sokongan kepada Dr Mahathir dan mengecam Raja-Raja Melayu. Ku Li pula pernah secara sinis (6/2/2009) berkata mana satu yang lebih merbahaya; sama ada pindaan 1993 atau tindakan rakyat yang tidak menunjukkan hormat kepada Sultan Perak.
“Pertabalan Tengku Ibrahim Petra untuk menggantikan Sultan Ismail Petra pada 29/4/1993 di Ketereh Kelantan oleh Datuk Annuar Musa. Keadaan ini amat memalukan dan boleh diistilahkan sebagai derhaka. Umno sanggup melantik sultan baru walhal sultan yang hidup masih bertahta,” bidas Suhaimi disambut tepukan pemerhati di galeri awam.
Beliau juga mengecam bekas Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim yang mendakwa mempunyai bukti Sultan Kelantan Sultan Muhammad Keempat yang bertahta tidak layak menduduki tahkta. Begitu juga dengan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohammad Taib yang berkahwin secara rasia dengan puteri Sultan Selangor. Di Terengganu berlaku penderhakaan apabila ADUN BN menolak majlis angkat sumpah melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar selepas PRU 2008 lalu.
“23 dari 24 ADUN BN Terengganu ugut untuk boikot majlis angkat sumpah Datuk Ahmad Said selepas PRU 2008. Mereka buat kenyataan terbuka sanggah istana dan mahu Idris Jusuh dikekalkan sebagai Menteri Besar Terengganu. Manakala penyokong Umno tulis di banner yang dipegang oleh pemimpin Umno dengan perkataan 慴inatang? Kenapa waktu itu polis tidak tangkap. Saya dikatakan oleh Ketua Polis Selangor ada 25 laporan polis. Kata Hishamudin Hussein apabila ada lebih 20 laporan polis dibuat maka polis terpaksa mengambil tindakan,”sindir Suhaimi.
Sesungguhnya, apa yang diperbahaskan oleh ahli dewan PR telah terpatri dalam lipatan sejarah Dewan Negeri Selangor. Pendedahan yang amat memalukan bagaimana Umno-BN menghina dan menderhakai Raja-Raja Melayu dan mengurangkan kuasa-kuasa mereka akan menjadi tatapan generasi akan datang dan membuka minda rakyat negeri bagi menilai pihak manakah yang benar sama ada BN atau PR.
Maka amat tepat ungkapan MB Selangor Khalid Ibrahim, dugaan itu bakal menyebabkan rakyat Selangor memberi sokongan yang lebih baik kepada PR dalam pilihan raya akan datang agar memberi ruang kepada kerajaan negeri meluluskan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri.
Begitu juga dengan cadangan ADUN Bangi Dr Shafiei Abu Bakar agar Selangor memiliki Suruhanjaya Pentadbiran Negeri sendiri seperti di beberapa negeri lain dan menolak kuasa pusat ke atas mereka, ia juga akan mudah dilaksanakan sekiranya PR mempunyai majoriti 2/3 di Dewan Negeri.