AMANAH yakin dapat meraih kemenangan sekiranya diberi peluang untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar bulan depan.
Presidennya, Mohamad Sabu berkata, walaupun PAS telah memutuskan untuk bertanding, namun beliau yakin parti yang baru berusia lapan bulan itu bukan lagi parti nyamuk yang disifatkan sesetengah pihak sebaliknya ia mampu menyaingi jumlah undi PAS yang akan diperolehi parti Islam itu nanti.
Berdasarkan pengalamannya selama 37 tahun sebagai penceramah PAS, beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa, PAS hanya memperoleh undi banyak apabila parti itu bergabung dengan parti-parti lain. Namun jika berseorangan, undi yang diperoleh mereka berkurangan.
“Begini, saya jadi penceramah dalam PAS lebih 37 tahun. Dari Ipoh sampai Johor Bahru adalah tempat PAS hilang wang pertaruhan. Selalunya kalau di Selangor, tempat yang tidak hilang wang pertaruhan adalah di Sabak Bernam dan Tanjung Karang. Sungai Besar itu parlimen baru. Lain-lain tempat itu selalunya PAS hilang wang pertaruhan.
“PAS mula mendapat undi banyak apabila bersama Barisan Alternatif kemudian Pakatan Rakyat. Undi PAS ini terlalu kecil. Sebab itu bila dia balik secara berseorangan, kita yakin dia balik kepada undi asalnya. Bukan undi yang ada sekarang yang kita melihat di Sungai Besar, PAS kalah hanya 300 lebih undi. Itu undi Pakatan Rakyat,” katanya.
Dalam wawancara bersama Sinar Harian, Mat Sabu turut berpendapat PAS hanya kukuh dari segi organisasi sebagai sebuah parti politik, bukannya undi rakyat ketika bertanding.
“Sebab itu bila PAS balik secara bersendirian, dia kuat dalam bentuk organisasi tetapi tidak kuat di sudut undi. 37 tahun lebih saya berhempas pulas bersama, bukan saya seorang. PAS hanya boleh mencapai kemenangan bersama Barisan Alternatif dan kemudian Pakatan Rakyat,” jelas beliau lagi.
Mengulas lanjut, Mat Sabu tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertandingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, namun beliau yakin akan tetap menang dalam saingan itu.
“Kita yakin menang di kedua-dua tempat. Kita sudah melakukan tinjauan. Walaupun tiga penjuru. Sebab kita yakin golongan pertengahan akan memihak kepada AMANAH dan Pakatan Harapan.
“Ini kerana bila kita turun pada tiga hari lalu di Sungai Besar, sambutan yang diberikan agak luar biasa termasuklah orang veteran PAS, sahabat-sahabat. Bahkan yang memakai baju AMANAH pun ada. Jadi kita yakin,” jelasnya lagi.