ULASAN: Saya ucapkan terima kasih atas maklum balas yang diberikan oleh pelbagai pihak sejak teguran saya di dalam kumpulan whatsapp “Solidarity for Anwar” dibocorkan dan menjadi isu politik hangat.
Ada yang mengkritik, ada yang menyokong, ada yang bimbang, ada yang memfitnah, ada yang ambil kesempatan. Saya terima semua maklum balas ini dengan berlapang dada kerana ia gambaran masyarakat kita yang rencam.
Ada satu pandangan dari kalangan pendokong parti dan rakyat terbanyak yang bimbang bahawa perkara ini akan melemahkan parti. Ada yang lebih kasar dan menuduh saya sudah dibeli oleh Dato’ Seri Zahid Hamidi dan Umno untuk mensabotaj parti demi melepaskan diri dari pelbagai dakwaan di mahkamah yang saya sedang hadapi.
Oleh sebab itulah saya menyerahkan dulu kepada keputusan Presiden dan Biro Politik untuk menentukan sama ada saya boleh melaporkan aduan salah laku terus kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Keputusan itu saya buat dengan mengambil kira rencam pandangan mengenai isu ini dan jika tidak berhati-hati, niat baik saya untuk saling ingat mengingati akan bertukar menjadi polemik politik yang boleh merenggangkan lagi kebersamaan di dalam parti.
Wan Azizah buat duluan
Makanya saya berharap rakyat memahami bahawa sedang komitmen saya kepada pencegahan rasuah adalah tidak berbelah bagi baik di dalam atau luar parti; saya juga perlu sensitif kepada adu domba politik yang boleh mengeruhkan keadaan.
Alhamdulillah Presiden parti, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Biro Politik membuat keputusan yang tepat seperti yang saya yakini dari awal. Presiden bersama-sama Biro Politik mengarahkan bahawa saya membawa terus semua aduan yang saya perolehi sekarang ke SPRM agar siasatan telus boleh dimulakan.
Saya memilih untuk tidak hadir dalam mesyuarat Selasa lepas kerana saya adalah pihak yang berkepentingan (“interested party”) dan lebih wajar sekiranya keputusan Biro Politik dibuat tanpa dipengaruhi oleh saya sendiri.
Saya bersyukur dan berbangga menjadi anggota KEADILAN sejak hari pertama parti ini ditubuhkan apabila saya dimaklumkan keputusan itu. Keputusan Presiden dan Biro Politik minggu ini akan menjadi satu rujukan (“precedent”) selepas ini bahawa mana-mana anggota parti yang mempunyai maklumat salah laku atau penyelewengan melibatkan anggota parti atau pentadbiran yang membabitkan anggota parti boleh melaporkan terus ke SPRM atau pihak berkuasa tanpa perlu khuatir ia bakal dilihat sebagai tindakan mensabotaj parti.
Keputusan itu adalah hadiah terbaik kepada peringatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini supaya pimpinan dan anggota parti tidak menyimpang dari niat dan matlamat asal perjuangan reformasi.
Semasa reformasi tercetus dalam tahun 1998, saya adalah Pengerusi Majlis Tertinggi Pelajar Malaysia di UK (UKEC) iaitu gabungan pelajar Malaysia luar negara yang terbesar di dunia. Sebagai pimpinan pelajar pada ketika itu, saya terjun menyertai anak muda lain di jalan raya dengan matlamat yang jelas: reformasi adalah perubahan sistem yang meletakkan rakyat di atas; reformasi bukan solekan kepada sistem sedia ada, reformasi bukan penambahbaikan kepada sistem yang diamalkan Barisan Nasional. Reformasi bukan transformasi dan bukan deklarasi.
Sistem dua parti
Di awal tercetusnya reformasi, ia berjaya meledakkan idea-idea yang sebelum itu ditolak mentah-mentah dan dilihat tidak sesuai di negara ini. Hasil reformasi, citra politik tanahair bertukar menjadi lebih terangkum (“inclusive”) apabila KEADILAN menjadi parti politik pelbagai kaum yang paling berjaya dan paling lama bertahan lantas merintis kepada kemungkinan sistem dua parti bertapak di Malaysia.
Reformasi meyakinkan aktivis-aktivis bahawa segala kekangan yang sebelum itu melumpuhkan gerakan pembangkang (dari media perdana yang dihamba-abdikan kepada undang-undang zalim seperti ISA dan Akta Polis yang menyekat perhimpunan aman) boleh dihancurkan jika ada penentangan yang berterusan, lalu lahirlah semangat #lawantetaplawan (walaupun pada awalnya hanya sebilangan kecil yang melawan dan kebarangkalian usaha mereka membuahkan apa-apa hasil adalah tipis).
Reformasi mengajak masyarakat membuat anjakan berfikir supaya tidak terus kekal dalam sistem berteraskan ketuanan dan fuedalisme yang diwarisi beratus tahun dan diperturunkan penjajah. Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah ahli politik Melayu pertama yang menyatakan bahawa kesesuaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah berakhir dan satu pendekatan membasmi kemiskinan dan menghapuskan kesenjangan “intra-“ dan “inter-“ kaum berasaskan keperluan diperlukan – tidak ada ahli politik sebelum beliau berani mengungkapkan itu secara terbuka.
Kerana reformasi yang saya kenali pada tahun 1998 bermula dengan perkara asas “bercakap benar walaupun dihadapan seorang raja”.
Reformasi yang itu tidak meletakkan perkiraan menang kalah atau untung rugi sebagai asas membuat keputusan. Ia mengajar saya menzahirkan yang benar walaupun dicemuh oleh semua orang kerana membohongi atau membodohkan rakyat (tidak kiralah sebaik mana matlamat dan niat berbohong) itulah yang telah melahirkan Umno/Barisan Nasional dan segala penyakitnya hari ini.
Justeru, warkah dari Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan supaya KEADILAN tidak tersasar dari niat dan matlamat reformasi datang pada masa yang tepat.
Saya khuatir apabila ada segelintir di dalam parti yang membicarakan soal kewajaran bercakap mengenai aduan salah laku di dalam parti; bicara itu lebih rancak dari bicara keperluan memastikan tidak ada kelemahan yang menyebabkan salah laku berlaku.
Kuasa membutakan
Saya khuatir apabila segelintir rakyat mengeluh mengenai kemahuan mereka agar pembangkang nampak bersatu agar lebih diyakini berbanding Barisan Nasional; keluhan itu lebih kuat dari desakan mereka agar kerajaan-kerajaan Pakatan Harapan perlu lebih ke depan membawa tata kelola dan urus tadbir yang lebih telus dan berkesan.
Saya ingat di awal reformasi dahulu, saya mula memahami erti “kuasa itu membutakan” (“power corrupts”). Tidak ada sistem yang boleh menjamin tidak berlakunya penyelewengan dan salah laku tidak kira dari parti mana kerana bila berdepan dengan kuasa dan wang, nafsu manusia adalah berbeza.
Namun yang membezakan reformasi dari sistem kerajaan yang diamalkan oleh Barisan Nasional ialah bagaimana salah laku ditangani.
Barisan Nasional menyembunyikan salah laku, reformasi terbuka mendedahkan salah laku.
Barisan Nasional tidak peka kepada rasuah, reformasi cukup peka kepada bagaimana satu sen wang rakyat dibelanjakan.
Barisan Nasional menyalahgunakan institusi untuk melindungi penyelewengan, reformasi mempertahankan kebebasan institusi agar penyelewengan dapat dihentikan dan dihukum.
Barisan Nasional memberi dalih untuk tidak mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang kekayaannya tidak padan dengan gaji, reformasi meletakkan piawai yang lebih tinggi bahawa seorang penjawat awam itu perlu menjawab kepada rakyat walaupun beliau mungkin tidak dikira memakan rasuah di sisi undang-undang.
Saya menarik nafas lega kerana disebalik rebut-ribut di dalam cawan minggu ini, saya yakin semangat dan matlamat reformasi masih segar dan semakin kukuh di dalam KEADILAN.
Kalau dulu kita diuji dengan susah payah dan tekanan untuk menilai kecekalan kita, kini kita diuji dengan harta dan kuasa untuk menilai keikhlasan kita.
Oleh yang demikian, suka saya memaklumkan kepada semua (termasuklah rakan-rakan Umno/Barisan Nasional yang seperti kadok naik junjung mendesak yang membuat laporan SPRM sedang mereka menikus mengenai 1MDB dan pelbagai skandal lain) bahawa saya akan membuat laporan SPRM mengenai aduan salah laku (yang saya rujuk di dalam whatsapp yang dibocorkan) pada hari Isnin 30 Mei 2016 jam 1130 pagi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN