Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) hairan dengan tangkapan pihak Polis terhadap penganjur Himpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) pada 9 Julai dan terus bertindak bagi menyoal siasat terhadap kepimpinan dan ahli parti PAS, PKR dan DAP serta PSM. Tetapi tidak pula bertindak terhadap Pergerakkan Pemuda Umno Malaysia dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara sedangkan mereka turut merancang mengadakan himpunan pada tarikh yang sama dan pihak Polis langsung tidak membuat tangkapan sepertimana berlaku terhadap pemimpin yang terlibat dengan BERSIH.
Demikian kecam Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia Raja Ahmad Al Hiss. baginya tindakan polis itu bukan sahaja tidak profesional tetapi menukar Malaysia menjadi negara yang tidak menghormati demokrasi dan dicemuh rakyat.
“Pemuda Umno akan menganjurkan himpunan pada tarikh yang sama atas nama ‘Himpunan Patriot’ juga Perkasa mengadakan ‘Himpunan Kotor’ bagi menghalang himpunan BERSIH. Jika pihak Polis sudah membuat tangkapan kepada yang berkempen agar menyertai BERSIH, persoalannya sekarang adakah Pemuda Umno dan Perkasa yang telah menghasut agar pengikutnya menyertai himpunan mereka akan ditangkap juga? Adakah pihak Polis tidak dapat mengenalpasti individu-individu atau penganjur ‘Himpunan Pattriot’ dan ‘Himpunan Kotor’?
“Jelas pihak Polis tidak berlaku adil di dalam memastikan keselamatan dan hak rakyat bagi perkara yang dibenarkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Adakah pihak Polis akan membuat tangkapan berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang bersetuju bahawa rakyat berhak berhimpun? Sudah tentu Suhakam yang dibentuk oleh Seri Paduka Yang DiPertuan Agong menyatakan apa yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan? Jika semuanya salah termasuk pandangan Suhakam yang di bawah Yang DiPertuan Agong, ini bermakna pihak Polis adakah kuasa terbesar di dalam Negara kita!,” katanya.