Pengumuman pemimpin MCA, MIC dan Gerakan bahawa mereka akan meletakkan jawatan dari kabinet Najib Razak jika Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) Pindaan 2016 diluluskan tidak dipercayai rakyat.
Tinjauan Suara pakatan daily mendapati rakyat pelbagai lapisan menolak pemimpin ketiga-tiga komponen BN itu akan mengotakan janji mereka sekiranya Akta 355 berkenaan diluluskan kelak.
Seorang penganalis politik bebas berkata, pemimpin komponen BN terkenal sejak berdekad-dekad lalu hanya berani mengeluarkan retorik tetapi tidak berani untuk bertindak nekad melakukan apa yang diperkatakan mereka.
“Pemimpin-pemimpin dari ketiga-tiga buah parti komponen BN hanya mengeluarkan kenyataan. Itu biasa. Tetapi adakah mereka benar-benar berani untuk meletakkan jawatan jika RUU itu diluluskan?” tanya penganalisis berkenaan yang enggan namanya disiarkan.
Tinjauan ke atas seorang pemandu teksi, Robert Koh di Kuala Lumpur mendapati beliau bersikap sinis menghadapi retorik pemimpin BN berkenaan.
“Kita memang selalu dengar pemimpin-pemimpin BN ‘berdrama’. Rakyat tak perlu pedulikan mereka,” katanya.
Sebanyak 20 orang rakyat biasa lain yang ditemubual yakin reaksi BN terhadap RUU tersebut hanyalah ‘sandiwara’ dan mungkin juga sebahagian daripada strategi sebelum pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang hari pengundiannya 18 Jun depan.
“MCA, MIC dan Gerakan semua ikut sahajalah cakap UMNO yang mengetuai BN.
“Mengapa mereka nak bising sangat? Mereka pun semua dalam BN, diam-diam dan ikut saja sudahlah,” sindir pakcik Wahid, seorang penjual nasi lemak di Segambut yang berumur 70 tahun.
Dari temubual berkenaan, kesimpulannya, perasaan sinis warga kota Kuala Lumpur masih tinggi walaupun BN yakin mereka kini lebih berjaya apabila Pas mengumumkan kerjasama dengan parti pemerintah.