Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah dinasihatkan oleh pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak hadir pada Majlis Pengisytiharan Calon Pakatan Harapan (PH).
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat bagi menjaga keharmonian pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang masih lagi bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).
“Kita tahu PAS masih lagi dalam kerajaan dulu yang dipilih oleh rakyat. Sebab itu parti buat ketetapan ini adalah pilihan raya di peringkat Parlimen.
“Azmin Ali kita tahu dia mesti menjaga kerajaan beliau. Azmin adalah Menteri Besar. Itu kita memang faham, dia ada satu kedudukan untuk menjaga kerajaan Pakatan yang dulu,” katanya dalam sidang media di Dewan Sri Sekinchan, malam tadi.
Ujar Wan Azizah, isu Azmin tidak hadir bukan isu besar memandangkan beliau yang juga merupakan Presiden PKR turun bagi mewakili Pakatan Harapan
“Saya ada untuk mewakili Pakatan Harapan, semalam kita ada bincang, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain juga mengetahui dan memahami,”ujarnya.
Pada majlis itu, antara pemimpin PKR yang lain ternasuk Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, dan juga beberapa pemimpin tertinggi daripada DAP. FMT