Musuh Pakatan Harapan (PH) melabelkan gabungan itu menuju kegagalan kerana parti-parti komponennya seringkali bertelagah atau perselisihan faham.
Namun demikian, seorang penganalisis politik, Steven Tan dari sebuah badan bukan-kerajaan memberi pendapat berlainan. Katanya, pendapat yang berlainan bukan kelemahan sebaliknya mencerminkan demokrasi yang sangat subur dalam gabungan berusia hampir setahun itu.
“Perselisihan faham atau pendapat menunjukkan ketiga-tiga parti komponen Pakatan mempunyai kuasa dan hak yang sama.
“Yang perlu sekarang ialah semua komponen bekerjasama, mempunyai hala tuju yang sama dalam menyelesaikan perselisihan secara bertolak-ansur. Kalau mereka boleh berbuat begitu maka PH akan mencapai kejayaan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau berpendapat gabungan BN tidak demokratik, hanya satu parti yang mempunyai kuasa mutlak dan parti lain mesti mematuhi parti yang berkuasa mutlak itu.
Pentadbiran koalisi seperti itu, kata beliau, adalah bercorak diktator dan parti-parti komponen menjadi ‘Pak Angguk’ atau ‘Pak Turut’ sahaja yang tidak mempunyai suara dan kekuatan.
“Justeru itu, para pengundi dan penyokong Pakatan wajar faham perselisihan antara komponen adalah tanda yang sihat dan mereka tidak harus menghentikan sokongan oleh kerana perselisihan pendapat tersebut.
“Di dalam PH sahaja demokrasi dan hak bersuara benar-benar dipraktikkan. PKR, DAP dan Amanah boleh memberi pendapat masing-masing sebab suara mereka tidak dikongkong,” tambahnya.
Steven menggesa agar rakyat Malaysia lebih matang dan bijak menilai apabila tiba masa mengundi dengan meneliti gambar keseluruhan politik negara. Jika PH tidak dipilih kerana hanya terdapat perselisihan faham dalam gabungan itu, katanya, maka rakyatlah yang akan menanggung akibatnya nanti.