Pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar adalah pertandingan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) dan sekutunya, bukan pertandingan tiga penjuru, tegas Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi.
Sekutu BN itu dipercayai merujuk kepada Pas yang dilihat memusuhi Amanah sebaliknya sangat mesra Umno malah mahu bertindak sebagai penasihat kerajaan melalui kerjasama politik.
“Pertandingan ini bukan pertandingan tiga penjuru. Ini mesej yang kita nak sampaikan kepada rakyat.
“Ini adalah pertandingan satu lawan satu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dan sekutunya. Biarlah mereka menghunus keris panjang mana pun kita anggap mereka ini sama dengan Umno Barisan Nasional.
“Mereka masuk bertanding mereka mengatakan kami bukan nak ubah Najib. Kami bukan nak ubah pemerintahan Umno. Kita tak tahu tujuan apa mereka masuk (pilihan raya),” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Bilik Operasi DAP di Jalan Taiping, Kuala Kangsar hari ini.
Amanah meletakkan Naib Ketua Amanah Kawasan Kuala Kangsar Dr Ahmad Termizi Ramli bagi mewakili Pakatan Harapan.
Manakala Pas mempertaruhkan Ketua Dewan Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad sementara BN menamakan balu Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad Datin Mastura Yazid sebagai calon mereka.
Asmuni juga berkata, walaupun kemenangan Pakatan Harapan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar tidak mengubah kerajaan namun ia mampu menyampaikan mesej bahawa rakyat tidak lagi mahukan kerajaan yang telah rosak.
“Walaupun PRK ini tidak mengubah kerajaan tapi mesej jelas, kita tak mahu lagi pemerintahan BN yang rosak serba serbi.
“Kesan kemenangan Kuala Kangsar akan merebak ke seluruh negara. Kalau kita menang PRK kali ini tidak ada sebab kita tidak mampu mengambil alih Putrajaya,” katanya yang juga Bendahari Agung Amanah.
Pusat penamaan calon bagi PRK Kuala Kangsar akan diadakan di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar, esok.
Jika tidak ada calon bebas yang bertanding, Pakatan Harapan akan kekal menghadapi BN dan Pas.