Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dispekulasikan masih berbelah bahagi untuk sama ada menyokong Pas atau Amanah akhirnya kelihatan di pusat penamaan calon Sungai Besar dan berpelukan dengan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, pagi tadi.
Kedatangan yang sangat dinantikan oleh para penyokong Pakatan Harapan ini disaksikan dengan penuh dramatik oleh pemimpin dan penyokong mereka termasuklah Adun DAP Sekinchan, Ng Sue Lim dan ahli parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmood.
Ketika bercakap kepada wartawan selepas itu, Azmin berkata, beliau telah mengarahkan semua jentera PKR agar membantu calon Amanah di kedua-dua PRK ini.
“Sebagai timbalan presiden, saya telah mengarahkan semua jentera agar turun ke Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk menyokong calon kita,” katanya kepada wartawan.
Dalam masa yang sama, Azmin meminta PAS dan Amanah menghalakan senjata mereka kepada BN bukan sesama sendiri.
Sebelum ini Azmin tidak kelihatan dalam banyak majlis anjuran Pakatan Harapan termasuk didakwa menjadi punca gagalnya mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan kerana usaha beliau mahu memujuk Pas.
Ketika pengenalan calon Pakatan Harapan, timbalan presiden PKR itu juga tidak kelihatan.
Selaku Menteri Besar Selangor, peranan Azmin sangat penting menentukan hala tuju PRK Sungai Besar yang terletak dalam negeri tu.
Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Ismail mengumumkan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan ditangguhkan kerana ketiadaan pemimpin utamanya termasuk Azmin.
Selepas ditubuhkan beberapa bulan lalu, Pakatan Harapan menyertai PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar buat pertama kalinya selepas gagal berbuat demikian dalan Pilihan Raya Negeri Sarawak.
Mereka telah memilih calon Amanah untuk mewakili mereka dalam kedua-dua PRK ini.