Seorang anggota Pemuda yang mahu bertanding dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar hari ini menukar fikiran dan memberi sokongan kepada calon Patri Amanah Negara (AMANAH).
Syed Rosli Syed Harman Jamalullail berkata beliau memutuskan perkara itu kerana parti serpihan PAS itu meletakkan anak tempatan sebagai calon mereka.
Beliau, yang berdepan pemecatan jika bertanding sebagai calon bebas juga, berkata masih sayangkan Umno.
“Saya menyokong beliau (calon AMANAH) bukan kerana beliau dari Parti AMANAH namun kerana beliau anak jati Kuala Kangsar! Itu sahaja.
“Pada calon Umno BN, saya anak jati Kuala Kangsar tidak menentang kamu lagi dan juga tidak menyokong kamu juga.Saya tidak masuk campur,” katanya.
Syed Rosli baru-baru ini mengeluarkan perkataan kesat melalui status Facebooknya apabila memaki calon BN, Mastura Mohd Yazid dengan perkataan “pu**mak” dan mendakwa beliau gila kuasa kerana menjadi calon BN di parlimen itu.
Beliau mendakwa Mastura, isteri bekas wakil rakyat di situ, melobi jawatan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden Umno.
Syed Rosli bagaimanapun kemudian memadam tulisan itu setelah sedar kesilapannya dan meminta maaf.