Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) serta seorang calon Bebas.
BN yang diwakili calonnya, Mastura Mohd Yazid akan menentang calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad, calon AMANAH yang diwakili Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Nama kempat- empat calon itu diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar.
Sebelum itu, seorang ahli perniagaan dan juga peguam Datuk Abu Backer Sidek hadir ke pusat penamaan untuk bertanding sebagai calon bebas, namun menarik diri kerana mendakwa tidak berpuas hari dengan sistem SPR.
Sementara itu PRK Sungai Besar pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru selepas SPR menerima tiga borang pencalonan.
Dalam PRK berkenaan, Budiman Mohd Zohdi daripada BN akan berdepan lawannya, Azhar Abdul Shukur daripada AMANAH dan Abdul Rani Osman daripada PAS.
Ketiga-tiga calon itu diumumkan Pegawai Pengurus SPR, Mohd Khairuddin Md Som, di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar.
Proses penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu berakhir pada pukul 10 pagi.
SPR menetapkan 18 Jun depan sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun bagi kedua-dua PRK berkenaan.