Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata parti itu tidak menentang undang-undang hudud tetapi menegaskan ia tidak seharusnya menjadi keutamaan di bawah undang-undang syariah.
Sebaliknya, menangani isu 1MDB dan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus menjadi keutamaan di bawah undang-undang Syariah, kata Ketua AMANAH Perak, Asmuni Awi.
“Mengapa soalan hudud yang dimainkan sangat, yang dikehendaki sangat. Sedangkan hudud itu sebahagian daripada tuntutan syariah.
“Tuntutan syariah tidak hanya tertumpu kepada hudud, ia termasuk membasmi rasuah, keadilan sosial, hak asasi manusia dan tadbir urus yang baik,” katanya.
Asmuni berkata demikian ketika menjawab soalan bahawa parti itu masih belum membuat pendirian berhubung hudud dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Walaupun PAS menegaskan rang undang-undang itu bukan mengenai hudud, ia cuba memujuk bukan Islam menerima undang-undang jenayah Islam itu.
Bagaimanapun Asmuni mempersoalkan mengapa usaha sukar ditumpukan untuk meminda perlembagaan, sedangkan terdapat isu lain berkaitan undang-undang syariah yang lebih mudah ditangani.
Beliau menambah bahawa hudud hanya boleh dikuatkuasakan selepas kemiskinan dihapuskan.
“Jika you penoreh getah, nak ikankah nak hudud,” soalnya.
Katanya, tidak seperti Brunei yang melaksanakan hudud, Malaysia memiliki sistem parlimen dan proses demokrasi yang berbeza.
Asmuni berkata ini akan menjadi jawapan AMANAH kepada masyarakat Islam dan bukan Islam jika ditanya mengenai perkara itu semasa tempoh berkempen.
Beliau juga mengulas dakwaan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad bahawa pertembungan pelbagai penjuru dalam pilihan raya kecil itu memberikan kelebihan buat BN.
Idris menuduh AMANAH memberi tongkat kepada BN dengan bertanding pada pilihan raya kecil itu bagi memecahkan undi PAS.
“Siapa sebenarnya bagi tongkat kepada BN. Tongkat dulu MCA dan MIC, tongkat itu sudah hilang. MCA represent (wakili) orang Cina, tongkat orang Cina dah lama tarik balik, MIC tongkat pun tarik balik. Jadi siapa beri tongkat sebenarnya?
“Kami tak beri tongkat kepada Umno dan BN sebab moto kita ialah kita tak main, kita berlawan nak bentuk kerajaan bukan nak jadi penasihat,” katanya.