Artikel dari laman web milik Umno, MyKMU.net yang dijadikan rujukan penulisan berita di portal Malaysiakini dan Free Malaysia Today kononnya MB Selangor Azmin Ali cuba mensabotaj kempen pilihan raya kecil (PRK) Sg Besar kerana presiden PKR Dr Wan Azizah tidak mahu menerima strategi yang dirancang beliau adalah keterlaluan.
Tulisan yang kononnya merujuk sumber dalaman parti itu ternyata ditulis secara tidak selari dengan peristiwa yang berlaku dalam PKR sebelum hari penamaan calon. Memang MB Azmin kelihatan kalah strategi berhadapan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang menurut artikel itu akan ‘menghabisi’ Azmin dalam pemilihan parti tahun hadapan sekiranya calon Parti Amanah Negara, Ustaz Azhar Shukor menang di Sg Besar.
Fitnah Umno
Namun situasi yang digambarkan terlalu buruk dan sesetengahnya ternyata fitnah semata-mata untuk melemahkan semangat ahli PKR yang sedang berkempen memenangkan calon Amanah di Sg Besar.
Laporan kononnya Azmin menarik keluar jentera kempen PKR di Sg Besar tidak benar. Begitu juga andaian Azmin berkeras mempertahankan strategi berunding dengan Pas sehingga hari penamaan calon adalah mengarut.
Dalam mesyuarat MPP pada 29 Mei 2016, untuk memutuskan pendirian PKR menghadapi dua PRK itu, team Azmin tidak membangkitkan rundingan Azmin dan Pas atau kemungkinan PKR meletakkan calon. Semua ahli MPP telah sedia maklum rundingan itu gagal dan Pas akan bertanding di Kuala Kangsar dan Sg Besar.
Perdebatan dalam mesyuarat itu, menurut sumber dalaman, hanyalah berkisar kepada cadangan team Dr Wan Azizah mahu memberi laluan kepada Amanah bertanding di kedua-dua PRK dan team Azmin yang masih setia kepada Pas, mahukan parti Islam itu diberi laluan bertanding.
Mesyuarat tersebut berlangsung panas sehingga team Azmin mencadangkan dibuat undian bagi memutuskan pendirian PKR sama ada memberi laluan kepada Amanah atau membiarkan Pas tidak diganggu dalam dua PRK berkenaan.
Bagaimanapun Dr Wan Azizah bertegas hak untuk memutuskan pendirian parti tidak perlu melalui undian, sebaliknya ditentukan presiden bersama beberapa pemimpin kanan lainnya. Mesyuarat itu ditangguhkan sebaik sahaja Dr Wan Azizah menyatakan pendirian tersebut.
Oleh yang demikian, tidak timbul usaha berterusan untuk meyakinkan parti agar PKR bertanding di Sg Besar dan memberi laluan kepada Pas di Kuala Kangsar. Begitu juga tidak timbul soal Azmin mensabotaj jentera PKR kerana beliau sendiri tidak lagi berminat meletakkan calon PKR selepas Pas tidak mahu berunding.
Azmin lemah
Sememangnya team Azmin kelihatan lemah setelah gagalnya perundingan dengan Pas. Namun untuk mensabotaj tentulah di luar strategi politik Azmin. Mensabotaj kempen PRK yang telah dipersetujui oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mendatangkan kesan buruk kepada masa depan Azmin dan pasukannya.
Tidak kira sama ada calon Amanah menang atau pun tidak, team Azmin akan dianggap pengkhianat dan akan dipulaukan pemimpin lain sekiranya mensabotaj PRK. Ternyata fitnah yang dibawa oleh laman web pro Umno itu jauh menyimpang daripada realiti politik dalaman PKR.
Cuma sekiranya calon Amanah memenangi salah satu PRK, maka hal itu akan merencatkan ura-ura team Azmin mahu mencabar kepimpinan Dr Wan Azizah dalam pemilihan parti. Ahli PKR akan melihat cubaan berunding Azmin – Pas sebagai kesilapan strategi kerana Pas telah pun diketahui sedang berbaik-baik dengan Umno. Sebelum itu, Azmin juga tersilap strategi memberi laluan kepada pengerusi PKR Sarawak Baru Bian meletakkan calon di kerusi yang dipersetujui milik DAP di dalam pilihan raya negeri Sarawak awal Mei lalu.
Strategi team Azmin itu ternyata menyebabkan pembangkang kalah teruk di Bumi Kenyalang kerana pengundi tidak yakin dengan Pakatan Harapan yang berantakan.
Tidak mustahil dengan dua strategi Azmin yang kecundang ini beberapa pemimpin pro Dr Wan Azizah yang menyeberang ke kem Azmin akan kembali semula ke pangkuan pasukan Azizah – Rafizi yang lebih berwibawa strategi politik.
Kegagalan Azmin itu pasti akan menguatkan kembali kedudukan Dr Wan Azizah. Azmin akan berfikir banyak kali untuk mencabar beliau dalam pemilihan PKR yang dijadualkan pada 2017.
Sekiranya Azmin tidak mencabar jawatan presiden maka PKR akan menjadi lebih mantap menghadapi pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada 2018.
Artikel ini adalah pandangan bebas penulis dan tidak mewakili pendirian Suara pakatan daily