Datuk Seri Nizar Jamaluddin hari ini memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad berhubung kenyataannya dalam sebuah ceramah pada 7 Jun lalu.
Timbalan Pengerusi AMANAH Perak itu bagaimanapun berkata ucapannya dipetik di luar konteks oleh pihak media.
“Sebagai seorang suami dan bapa, saya juga dapat menjiwai serta merasakan kesedihan yang teramat sangat yang ditanggung seisi keluarga Allahyarham kerana kehilangan seorang suami dan ayah kepada anak-anak Allahyarham.
“Namun laporan media sosial keesokannya telah sengaja membuat telahan serta tomahan dan andaian yang salah dan jauh terbabas daripada niat dan maksud sebenar,” kata Nizar.
Isnin lalu, bekas menteri besar Perak itu ketika berucap di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, berkata Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar adalah untuk cara Allah “mengajar” Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, atas peranan mereka dalam krisis Perak pada 2009.
Beliau berkata ia ada kaitan antara krisis Perak pada 2009 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat dengan PRK tersebut, yang secara kebetulan, kedua-duanya berlaku di Kuala Kangsar.
Ucapan Nizar itu dikecam pemimpin BN dengan menyifatkan ia sebagai biadab, manakala pimpinan AMANAH menjauhkan diri daripada kenyataan itu.
Dalam permohonan maaf beliau, Nizar berkata beliau dalam ucapan sama ada meminta hadirin menyedekahkan Surah Al-Fatihah kepada Allahyarham.
“Permohonan kemaafan tidak bersyarat ini adalah tanda keluhuran hati saya yang amat bersimpati atas ketentuan dari Allah SWT yang menimpa keluarga Allahyarham,” katanya.
Sebelum itu, balu Allahyarham, Datin Mastura Mohd Yazid berkata beliau sedia memaafkan Nizar.
“Sebagai seorang manusia biasa seperti saudara semua, semestinya perkataan-perkataan itu mengguris hati saya dan anak-anak.
“Tetapi saya maafkan Datuk Seri Nizar sebab saya percaya Allah Taala akan menunjukkan kebenaran kepada kita semua,” katanya dalam sidang media yang diadakan di rumahnya hari ini.