Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli meminta pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar agar melakukan undi protes terhadap pembaziran dana awam bagi menyewa jet peribadi dengan anggaran kos RM86.4 juta selama dua bulan untuk kegunaan Rosmah Mansur .
Rafizi berkata, calon BN tidak layak bercakap mahu membela rakyat selagi tidak berani menegur Rosmah agar berhenti berbelanja mewah menggunakan wang rakyat.
“Saya seru pengundi-pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar melakukan undi protes dengan memilih calon Pakatan Harapan atau tidak keluar mengundi langsung bagi menunjukkan kebencian kepada sikap boros pemimpin BN,” kata beliau dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar hari ini.
Seruan yang sama turut disuarakan Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang risau calon BN tidak berani menegur pemborosan sekiranya dipilih menjadi ahli parlimen nanti.
“Setelah pembaziran yang terkini saya ingin menyeru pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar bahawa undi anda merupakan undi membantah semua pembaziran.
“Masuk ke parlimen nanti siapa yang menang adakah mereka komited untuk bawa perkara pembaziran begini?
“Bagi Amanah yang mewakili Pakatan Harapan saya boleh bagi jaminan itulah komitmen kita. Apabila rakyat memberi undi kepada calon Pakatan Harapan kami akan membawa isu-isu melibatkan wang rakyat,” katanya dalam sidang media sama.
Beliau juga berkata, calon dan pemimpin BN sudah sedia maklum siapa yang melakukan pembaziran tetapi tidak berani menegur pembaziran yang berlaku.
Justeru katanya, pilihan raya kecil ini merupakan medan terbaik bagi pengundi untuk menolak pemimpin yang tidak membela nasib rakyat sebaliknya berbelanja boros menggunakan wang rakyat.
“Saya bagi pihak Amanah yang mewakili Pakatan Harapan menyeru pengundi undilah calon yang boleh menegur pembaziran begini dan kita letakkan calon yang boleh melakukannya,” katanya yang juga ahli parlimen Parit Buntar.
Amanah diwakili Dr Ahmad Termizi Ramli di Kuala Kangsar dan Azhar Abdul Shukur di Sungai Besar.