Ribuan pesawah di daerah ini mengalami kerugian ekoran kadar pemotongan harga padi basah yang semakin meningkat ditambah pula dengan monopoli padi oleh syarikat swasta, Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Membangkitkan permasalahan berkenaan dalam satu sidang media di sini, hari ini, calon Pakatan Harapan, Azhar Abdul Shukur berkata tindakan itu telah mengakibatkan pendapatan pesawah yang terlibat terjejas teruk.
“Kadar pemotongan harga padi basah telah dinaikkan dari sekitar 15 peratus hingga 18 peratus ke 18 peratus hingga 23 peratus mulai Januari 2016.
“Ia bermakna hasil jualan merosot sebanyak RM400 hingga RM500 untuk setiap petak padi,” ujar calon dari Parti Amanah Negara itu sebagaimana dilaporkan Roketkini.
Malah, menurutnya, terdapat juga pesawah di kawasan Tanjung Karang yang ditekan oleh syarikat BERNAS dengan pemotongan melampau sebanyak 25 peratus.
“Bayangkan perasaan para pesawah yang menghantar hasil padi 10 tan ke kilang beras, namun tak sampai 8 tan yang dikira untuk bayaran.
“Ini belum mengambil kira peningkatan harga baja, harga racun, gaji pekerja dan macam-macam lagi kos yang kian meningkat, namun hasil jualan padi pula menurun,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh media versi Bahasa Malaysia milik DAP itu.
Sungai Besar merupakan kawasan penanaman padi yang mempunyai lebih kurang keluasan 8,000 hektar petak sawah, manakala bilangan isi rumah yang bergantung pada kegiatan penanaman padi pula hampir 3,000 keluarga, tambahnya.
“Dengan kata lain, akibat peningkatan kadar pemotongan dari 15 peratus ke 20 peratus pesawah-pesawah padi di kawasan Parlimen Sungai Besar hilang pendapatan sebanyak lebih kurang RM11.5 juta,” ujarnya.
Lebih memburukkan lagi keadaan, menurut Azhar, keluhan pesawah di sini sejak sekian lama tidak diendahkan pemerintah Barisan Nasional, malah mereka mendakwa BN terus memihak kepada Bernas.
Sehubungan itu, beliau bersama-sama pemimpin Pakatan Harapan menggesa supaya monopoli Bernas yang menyusahkan rakyat berkenaan dihapuskan.
Langkah itu, menurut Azhar akan memberikan peluang kepada pesawah untuk memilih pengedar yang membeli padi dengan harga yang tinggi, sekaligus mewujudkan persaingan yang sihat.
“Sekiranya diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat Sungai Besar, saya akan membawa isu ini ke Parlimen dan memperjuangkan supaya kadar pemotongan harga padi basah ditetapkan pada tahap yang lebih munasabah dan tidak melebihi 15 peratus,” katanya.