Satu-satunya calon dalam kalangan empat calon yang bertanding merebut kerusi parlimen Kuala Kangsar, calon Amanah Dr Ahmad Termizi Ramli, ternyata seorang demokrat tulen apabila menjawab semua soalan NGO Bersih 2.0 mengenai sikap beliau sebagai ahli politik.
Menurut Termizi, sebagai calon PRK beliau merasakan soalan-soalan yang ditanya oleh Bersih 2.0 itu adalah relevan untuk dijawab bagi mencerahkan minda pengundi ke arah politik baharu. Berikut adalah jawapan Dr Termizi:
BERSIH: Adakah akan sokong usaha penyingkiran Najib?
Dr Termizi: Sekiranya saya dipilih rakyat Kuala Kangsar sebagai Ahli Parlimen mewakili mereka, saya akan sokong penyingkiran Najib selaku Perdana Menteri. Ini adalah kerana Najib telah membawa banyak kerosakan kepada Negara.
Sebagai pemimpin, beliau perlu dipertanggungjawabkan ke atas segala kerosakan yang dilakukan beliau termasuk yang terbesar setakat ini – skandal 1MDB. Ini adalah sebahagian dari ‘political education’ atau pengajaran politik terhadap rakyat di mana rakyat perlu faham bahawa rakyat tidak wajar takut menggantikan pemimpin yang tidak betul. Pada masa sama pemimpin perlu diajar takut kepada rakyat khususnya, sekiranya mereka melakukan penyelewengan.
BERSIH: Ada yang mengatakan bahawa penyingkiran Najib akan selamatkan UMNO/BN?
Dr Termizi: Saya tidak setuju dengan sikap itu kerana ianya tidak boleh dilihat secara berasingan. Kerosakan yang dilakukan Najib adalah atas kegagalan UMNO/BN di mana mereka telah menjadi parti politik sekadar menjaga kepentingan peribadi dan bukan kepentingan rakyat.
Najib mampu bertindak begini oleh kerana UMNO/BN telah menjadi parti yang gagal dan tidak berfungsi demi rakyat mahu pun orang Melayu. Oleh itu penyingkiran Najib tidak akan menyelamatkan UMNO sebaliknya ia akan menjadikan rakyat lebih berani untuk membawa perubahan.
Kedua, samada UMNO akan selamat atau tidak hanya satu andaian. Sedangkan kerosakan yang dibawa Najib adalah satu hakikat dan kebenaran. Maka jangan kita berdiam diri dan tidak berusaha membetulkan kerosakan yang jelas dan nyata atas alasan satu andaian yang tidak tentu kebenarannya.
BERSIH: Adakah akan sokong 10 tuntutan Bersih?
Dr Termizi: 10 tuntutan Bersih ini adalah konsisten dengan pendirian saya dan pimpinan AMANAH sejak dahulu lagi. Saya juga akan sokong. Ketika dalam NGO sebelum ini, saya juga turun bersama semasa diadakan program Bersih 4 dan program Bersih sebelumnya.
Saya anggap bahawa persoalan utama adalah sistem semak dan imbang yang perlu diperkukuhkan, selain dari sistem pilihan raya yang bersih dan adil.
Saya lihat bahawa 10 tuntutan Bersih adalah agak menyeluruh dan boleh membantu mengatasi ketidak adilan sistem pilihan raya sekarang. Termasuk dalam persoalan ini adalah sistem ‘first past the post’ yang diamalkan sekarang perlu dikaji dan ditukar kepada sistem pilihan raya ‘proportional representation’ sebagai satu alternatif yang lebih adil.