Setelah bergerak secara sendirian dalam politik, PAS kini cuba mendapatkan sokongan daripada Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan hayat parti Islam itu kekal.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata oleh itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan menyerang, sebaliknya akan menyokong segala salah laku Najib.
“PAS ini keseorangan diri, setelah dia berpisah secara langsung dengan Pakatan Rakyat, sebab itu dia ingin dapatkan sokongan daripada Najib khususnya.
“Dan dia (Hadi) tidak akan serang Najib bahkan akan menyokong perbuatan salah Najib,” katanya pada sidang media, di Restoran Hao Xiang Chi, hari ini.
Beliau berkata tindakan Hadi itu menyebabkan separuh daripada pemimpin PAS berpindah parti dan tidak lagi mempercayai kepimpinan presiden parti Islam berkenaan.
“Sebab itu Hadi cuba melamar UMNO atau khususnya Najib kerana dapat banyak nikmat mungkin dapat dedak daripada Najib,” katanya di depan kira-kira 500 pengundi yang majoritinya berbangsa Cina.