Surat Terbuka buat pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Tuan/puan saudara dan saudari sekelian.
1. Beberapa hari lagi anda akan membuang undi dalam PRK kawasan anda. Pasti anda sudah mengetahui bahawa keputusan PRK ini tidak mampu mengubah kerajaan sedia ada.
2. Namun dengan perasaan rendah diri, GKCM ingin merayu kepada anda semua untuk merenung sejenak implikasi undi yang bakal anda berikan kali ini.
3. Sejak kebelakangan ini UMNO telah tergelincir dari landasan sebenarnya. Perjuangan atas nama agama, bangsa dan negara telah ditingggalkan oleh para pemimpinnya.
4. Amalan rasuah, salahguna kuasa dan sikap berlumba lumba mencari kekayaan peribadi merupakan perjuangan pemimpinnya pada hari ini.
5. Mengisafi hakikat ini, kami akhirnya menubuhkan GKCM yang merupakan gabungan ketua-ketua cawangan UMNO bertujuan membetulkan keadaan dalam UMNO.
6. Kami sedar kami akan ditentang habis-habisan oleh mereka yang mempunyai kuasa ketika ini.
7. Namun kami ingin melihat pemimpin-pemimpin UMNO mengambil contoh kepimpinan Khulafah Al Rashidin dalam memimpin rakyat negara ini. GKCM tercari cari pemimpin-pemimpin yang menjadikan Saidina Umar sebagai ikon dalam amalan kepimpinannya. GKCM juga ingin melihat bagaimana para pemimpin UMNO menggunakan kekayaan peribadi mereka untuk berkhidmat ke jalan Allah dan kepimpinan mereka. Malangnya pemimpin UMNO yang ada pada hari ini lebih sibuk berebut rebut mencari kekayaan peribadi dan mengumpul harta melalui amalan yang tidak dibenarkan oleh Islam.
8. Dalam beberapa hari ini kita akan berasa seronok dengan kunjungan serta hadiah hadiah daripada pelbagai pihak-pihak yang cuba mempengaruhi undi kita. GKCM berharap janganlah kerana hadiah hadiah ini akan menyebabkan kita menggadai masa depan anak cucu kita di mada hadapan.
9. Bila Najib beri ‘hadiah’ kerana niat mahu undi itu ‘rasuah’ namanya. Jika wang itu kita terima dan kerananya kita tidak beri undi yang diminta berertilah kita tolak malah ‘menentang rasuah’. Sebaliknya kita berdo’a supaya Najib bertaubat dan berhenti dari jadi Perdana Menteri supaya tokoh Umno yang lain dapat mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan memulihkan Umno untuk menang dalam PRU ke 14.
10. Walaupun GKCM terdiri daripada orang-orang kuat dalam UMNO, kami ingin merayu kepada anda semua supaya jangan mengundi UMNO pada kali ini. Bukan kerana kita berpaling tadah tetapi atas dasar untuk memberi mesej bahawa kita menentang kemungkaran para pemimpinnya.
11.Yang paling penting ialah kita ingin menyatakan kepada Datuk Seri Najib bahawa perbuatan salahguna kuasanya tidak boleh dimaafkan dan beliau sepatutnya berundur.
12. Jika kita terus memangkah BN pada kali ini, maka hancurlah harapan anak cucu kita yang mengharapkan kita untuk memulakan perubahan.
Tanahair kita tanggungjawab kita
#saveMalaysia
#beranikeranabenar
Sekretariat GKCM
10 JUN 2016