Ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengecam tindakan kerajaan BN yang telah mengesahkan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 7 Jun lalu berdasarkan Perkara 66(4)(a) Perlembagaan Persekutuan, tanpa mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong.
Mahfuz berkata hal itu bertentangan dengan permintaan Persidangan Majlis Raja-Raja ke 240 pada 16 Februari 2016 lalu yang meminta rang undang-undang terbabit diperhalusi.
“Majlis Raja-Raja mengambil perhatian serius terhadap cadangan akta ini yang dilihat memberi kuasa yang begitu besar kepada Perdana Menteri dan MKN dalam soal keselamatan negara.
“Majlis Raja-Raja melalui kenyataan bertulis yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 17 Februari 2016 telah menitahkan kerajaan supaya meneliti dan memperhalusi kembali beberapa peruntukan di dalam rang undang-undang tersebut.
“Majlis Raja-Raja juga menyatakan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor akan menulis surat rasmi kepada kerajaan berkaitan perkara tersebut. Peguam Negara sendiri kemudiannya telah menyatakan bahawa pihaknya akan melakukan tindakan sewajarnya bersabit dengan titah Majlis Raja-Raja tersebut.
“Manakala di dalam persidangan Dewan Rakyat pada 24 Mac 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan bahawa kerajaan akan mengambil kira pandangan Majlis Raja-Raja tersebut dan berjanji bahawa kerajaan akan sekali lagi membuat sembah taklimat berhubung kandungan rang undang-undang tersebut kepada Majlis Raja-Raja.
“Oleh itu, amatlah memeranjatkan kita apabila dimaklumkan bahawa rang undang-undang tersebut secara tiba-tiba telah sah menjadi suatu akta tanpa mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong.
“Tambah memeranjatkan lagi apabila Peguam Negara sendiri mengakui bahawa versi rang undang-undang yang telah disahkan menjadi Akta MKN tersebut adalah sama sebagaimana yang diluluskan Parlimen pada Disember 2015 dan langsung tidak diperbaiki sebagaimana yang dititahkan oleh Majlis Raja-Raja.
“Ini menunjukkan bahawa Peguam Negara dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri tidak menepati janji untuk memperbaiki rang undang-undang ini dan juga membawanya untuk dibincangkan dengan Majlis Raja-Raja,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan.
Mahfuz mengingatkan tindakan kerajaan BN itu menjurus ke arah yang merbahaya. Katanya, sikap tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu yang merupakan tonggak utama kepada sistem pemerintahan dan undang-undang negara di samping menjadi mekanisme semak dan imbang (check and balance) terhadap apa jua tindakan badan Eksekutif menyebabkan akan berlakunya pemusatan kuasa kepada PM.
“Harus diingat, keprihatinan yang disuarakan Majlis Raja-Raja terhadap peruntukan-peruntukan represif yang terdapat di dalam Akta MKN ini bukanlah untuk kepentingan peribadi Raja-Raja Melayu. Tetapi ianya dibuat mewakili suara rakyat Malaysia dan bersandarkan kepada kesedaran untuk melindungi demokrasi, kebebasan dan hak asasi sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan BN pada masa ini sedang berdepan dengan tekanan yang sangat kuat dari segenap penjuru akibat dari skandal 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Maka tidak sukar difahami bahawa undang-undang drakonian seperti Akta MKN ini amat diperlukan untuk menjadi “perisai” bagi mempertahankan batang tubuh Perdana Menteri Najib dan kerajaan BN .
“Saya dan rakyat Malaysia tidak boleh menerima sama sekali perlakuan tidak menghormati Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang dilakukan oleh kerajaan ini. Justeru, saya mendesak kerajaan supaya membatalkan akta ini dan meminta maaf kepada Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja,” katanya.
One Comment
Pingback: MKN: Kerajaan Jawab Dakwaan Tidak Hormati Majlis Raja-Raja