Oleh: Wira Rakyat
Banyak penonton berita Berita NTV7 jam 7.00 petang semalam terkejut dengan slot paparan sidang media pelakon/pengacara Wardina Safiah menafikan beliau mempunyai apa-apa kaitan dengan Pakatan Rakyat (PR) berikutan kehadirannya dalam satu karnival anjuran PR dan Bersih.
Rakyat tertanya-tanya mengapakah nilai kebebasan bergerak di negara ini sampai ke tahap sedemikian parah, sama dahsyatnya seperti di negara diktator blok Eropah Timur sebelum tumbangnya komunisme pada 1990. Memang media anti-Perlembagaan Persekutuan yang menggelarkan diri sebagai media arus perdana melonjak gembira dengan kenyataan Wardina itu. Para penerbit Buletin Utama, Warta Perdana dan lain-lain stesen penyiaran pasti akan mendapat bonus lumayan pada hujung tahun nanti setelah berjaya memomokkan Bersih dan Pakatan Rakyat sebagai musuh nombor satu negara dan tidak ada seorang selebriti pun selepas ini yang akan berani bersalaman dengan tokoh-tokoh yang mewakili parti atau NGO berkenaan.
Jangan bangsatkan tamadun
Namun dari segi peradaban, media arus perdana sebenarnya hanya berjaya menjatuhkan tamadun Malaysia ke kedudukan ‘bangsat’ di mata dunia. Pemimpin PR jika dianalisa dengan fikiran waras bukanlah pengkhianat mahu pun musuh negara. Mereka dilantik oleh rakyat dalam proses demokrasi. Mereka menerajui 4 negeri dan memenangi hampir separuh kerusi Dewan Rakyat. Sesiapa yang membangsatkan pemimpin PR merekalah bangsat yang sesungguhnya.
Tidak lain, media arus perdana telah berdosa besar membangsatkan pemimpin PR ini sehingga seseorang menjadi takut hanya untuk menghadiri karnival anjuran mereka. Akan datang tentunya seseorang juga akan takut untuk menghadiri kenduri kahwin anak pemimpin PR dan juga sampai ke satu tahap akan takut untuk menziarahi jenazah mereka pun!
Kehadiran Wardina tidak boleh dipolitikkan oleh media arus perdana. Menyekat peluang beliau muncul dalam sebarang rancangan atau lakonan semata-mata menyokong suatu gerakan politik amatlah tidak bertamadun. Politik bukan asas kepada industri hiburan atau dunia penyiaran. Politik adalah untuk mentadbir negara.
Sebaliknya, media arus perdana yang wartawannya yang makan gaji janganlah bertuankan Kerajaan BN secara membuta tuli. Propaganda menyerang Bersih dan PR secara keterlaluan tanpa anda sedari telah pun mewujudkan gerakan pemisah di Malaysia.
Begitu juga pihak polis yang disuruh menentang pehimpunan Bersih dan PR. Sedarkah mereka separuh rakyat Malaysia mengundi PR pada pilihanraya lalu. PR dan Bersih tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan Artikel 10 yang membenarkan perhimpunan aman. Kerugian berjuta ringgit yang kononnya ditanggung peniaga turut berlaku apabila jalan ditutup untuk perarakan kemerdekaan atau menyambut sebarang perayaan. Jika Malaysia maju demokrasinya, hanya ahli parlimen yang benar-benar ‘gila’ sahaja akan membawa hujah seperti itu dan kemudian meletak jawatan kerana telah mempersenda perlembagaan.
Usah tekan rakyat
Akibat kegilaan BN dan balacinya, demonstrasi PR dan Bersih yang tidak dikenali oleh kebanyakan rakyat Malaysia sebelum bulan Jun kini mempunyai peminat yang besar. Sokongan amat meningkat terutama di dunia maya. Website yang mempunyai link tunjuk perasaan mencatat hit amat tinggi. Di kedai-kedai kopi kampung Melayu dan Cina, pro-kontra demonstrasi menjadi topik hangat. Dalam keadaan kemaraan fikiran rakyat ini, seharusnya kerajaan BN berlembut dengan arus kesedaran dan jangan mengulang kesilapan era Dr Mahathir dengan menggunakan kekerasan melampau.
Sayangnya, situasi yang berlaku, media arus perdana dan pihak polis yang tidak mahu menolak arahan politik bukan meredakan sebaliknya menyemarakkan gerakan pemisahan. Tujuan asal propaganda adalah untuk memaksakan nilai di fikiran rakyat bahawa pembangkang adalah jahat dan mereka mesti melindungi keluarga dari pembangkang. Rakyat tidak ada pilihan lain, sekiranya tidak memusnahkan gerakan pembangkang maka mereka dan seluruh kekuatan ekonomi negara akan dimusnahkan dengan demonstrasi jalanan.
Alasan seperti itulah yang digunakan untuk menghalalkan Operasi Lalang pada 1987 lalu. Lebih seratus pemimpin politik, kebanyaknnya DAP dan PAS ditahan. Namun BN terlupa tindakan biadap menahan tanpa apa-apa alasan itu, boleh diterima waktu itu dengan lapang dada kerana tokoh kesayangan mereka Anwar Ibrahim bertapak di dalam Umno. Sebahagian besar rakyat Malaysia mengharapkan gandingan Islam Anwar dan Nasionalisme Dr Mahathir suatu masa nanti akan menghasilkan kemantapan politik.
Selepas era Reformasi 1998, rakyat yang benar-benar waras tidak lagi percaya wujud gandingan Islam dan nasionalisme di Malaysia. Tokoh Islam yang masuk ke dalam Umno selepas itu tidaklah sehebat Anwar dari segi keislaman. Hanya tokoh yang boleh dibeli dengan gaji dan gelaran sahaja sanggup menyembah parti itu. Dalam masa yang sama, etnik Cina yang jauh lebih ke hadapan pemahaman demokrasi merasa jijik melihat tingkah ahli politik BN yang mengekalkan kuasa secara kekerasan.
Peniaga tiada hak halang demo
Rakyat Malaysia melihat 9 Julai ini adalah garis penting politik negara. Sekiranya kerajaan BN (diharapkan tidak hilang akal) melaksanakan tangkapan besar-besaran maka gerakan pemisahan tidak dapat dielakkan. BN hanya akan mengulang apa yang telah berlaku di negara Asia Barat dan Afrika Utara apabila golongan yang terdedah dengan maklumat cuba disekat secara ganas. Pada peringkat awal mereka akan menang tetapi ketakutan rakyat ada batasnya. Itulah yang berlaku di Mesir, Tunisia dan lain-lain.
Tidak ada salahnya BN membenarkan tunjuk perasaan aman. Pada Ogos 2009 lalu, tunjuk perasaan anti-ISA juga dikatakan akan menjejaskan perniagaan. Persatuan peniaga Kuala Lumpur mengugut akan menyaman Syed Ibrahim Syed Noh yang mengepalai tunjuk perasaan itu. Namun sehingga hari ini apabila ditanya, Syed Ibrahim mengaku beliau masih ternanti-nanti surat saman yang tidak kunjung tiba.
Apa sebenarnya berlaku, peniaga makanan dan minuman untung besar pada hari tunjuk perasaan itu. Begitu juga peniaga lain kerana penunjuk perasaan yang datang dari seluruh pelusuk tanah air berbelanja di Mega Sale Malaysia yang berlangsung dari bulan Jun ke Ogos. Tentunya pihak penyaman akan terpaksa membayar gantirugi kepada gerakan anti-ISA jika saman diteruskan kerana telah memfitnah penganjuran tunjuk perasaan tersebut.
Dalam kes Bersih dan PR, parti politik dan NGO itu menggunakan hak mereka di bawah perlembagaan berhimpun secara aman. Hanya kerajaan BN dan media arus perdana yang cuba memprovok untuk mencetuskan huru-hara demi mempertahankan kuasa.
Cuma buat pengamal media, anda harus ingat gerakan pemisahan yang anda lancarkan itu jika menghancurkan negara kelak hanya akan merugikan kerjaya anda. Pemimpin BN akan melarikan diri keluar negara dengan kekayaan yang disimpan di sana. Sebaliknya andalah yang akan menanggung kerugian apabila negara hancur dan pendapatan iklan merosot. Seterusnya, anda bakal dibuang kerja dan terpaksa bergabung pula dengan penunjuk perasaan yang anda benci sebelumnya!
Tulisan ini adalah pandangan penulis mewakili pendiriannya dan tidak semestinya mewakili pandangan suarapakandaily.