Pengundi Kuala Kangsar akan berhadapan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) daripada 6% kepada 8% jika BN menang, kata Bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman.
Beliau berkata, kemenangan BN akan ditafsirkan sebagai rakyat telah menyokong GST yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Oleh itu rakyat digesa supaya berani membuat perubahan dengan menolak calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid.
“Orang Kuala Kangsar seharusnya menolak calon BN, bagi menyatakan mesej bahawa rakyat tolak pentadbiran korup Najib.
“Jika BN menang, orang Kuala Kangsar akan berhadapan dengan kenaikan GST daripada 6 peratus kepada 8 peratus,” katanya ketika berucap dalam forum Deklarasi Rakyat anjura NGO Selamatkan Malaysia di Taman Chandan Puteri.
Sementara itu, Hamidah turut menempelak dakwaan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berhubung kenyataan bahawa kerajaan yang membayar gaji ahli Parlimen dan bukan rakyat.
Katanya, cukai yang dikutip itu adalah duit rakyat dan Ahli Parlimen seharusnya menjaga amanah yang diberikan rakyat.
“Bukannya guna duit rakyat macam duit ‘mak bapak’ dia orang yang punya,” selar Hamidah kepada Nawawi.