Satu taktik dikesan digunakan oleh jurukempen BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar. Sumber mendakwa jentera kempen MCA menggunakan taktik meminta pengundi Cina agar tidak menghiraukan hari mengundi pada 18 Jun ini kerana PRK Sungai Besar adalah pertarungan Melayu Umno lawan Melayu Pas dan Melayu Amanah.
Oleh yang demikian, pengundi Cina tidak perlu memainkan peranan dalam pertarungan berkenaan.
Seorang petugas DAP James Yew dari Kepong, 35, yang sedang berkempen di Sungai Besar mendakwa, taktik itu dikesan digunakan di kawasan majoriti pengundi Cina.
“MCA takut Cina akan mengundi Amanah. Itu sebabnya mereka menggesa orang Cina supaya jangan keluar mengundi,” dakwa beliau.
Sementara itu, Pengarah Komuniksi Amanah Ir Khalid Samad berpendapat situasi sengit di Sungai Besar mendorong pelbagai taktik digunakan untuk memenangi PRK.
“Buat masa ini adalah susah meramalkan siapa akan menang kerana pertarungan amat sengit. Tetapi memang nampak MCA sedang berhempas-pulas meyakinkan masyarakat Cina,” katanya yang tidak menolak taktik ‘reverse psychology’ MCA itu akan memakan diri terutama di kawasan kubu DAP di Sekinchan.
Mengikut kiraan matematik, jika 30% pengundi Melayu mengundi Umno, 30% lagi mengundi Pas dan baki 30% pengundi Melayu mengundi Amanah maka undi Cina akan menjadi penentu.
“Saya anggarkan bahawa pada masa kini ramai pengundi Melayu belum membuat keputusan muktamad lagi,” sambung Khalid.