Bekas Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar menyeru agar Pas dan Umno merealisasikan penyatuan politik atas nama Melayu dengan segera dan tanpa berselindung.
Katanya, jelas pemimpin Pas menolak cadangan berkompromi dengan Pakatan Harapan dalam meletakkan calon di pilihan raya kecil (PRK) Kuala kangsar dan Sungai Besar kerana mereka mempunyai perhitungan lain bersama Umno.
“Hasrat saya sebelum ini menyarankan Pas dan Amanah berunding untuk memastikan agenda satu lawan satu dalam PRK Sg Besar dan K.Kangsar ditolak oleh pimpinan Pas atas alasan tiada kerjasama dengan pengkianat.
“Kini dengan Kenyataan Yb Ust Nik Abduh Nik Mat, Ketua Pemuda Pas barulah saya faham kedudukan sebenar.Yb Nik Abduh menekankan Pas bukan sahaja berniat tetapi berazam untuk bersatu dengan Umno. Ini bermakna usaha telah, sedang dan terus dilakukan oleh Pas bagi merealisasikan niat dan azam untuk memastikan Pas dan Umno bersatu menjadi kenyataan.
“Saya percaya pertemuan,perbincang dan perundingan dua belah pehak telah diadakan.Walaupun berkali kali dinafikan oleh pimpinan Pas,tetapi dengan kenyataan Nik Abduh cukup meyakinkan cuma keberanian berterus terang sahaja yang masih diselubungi dengan ketakutan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mahfuz lagi, beliau percaya Nik Abduh mempunyai keberanian luar biasa dan sikap suka berterus terang dalam banyak hal. Apa yang dinyatakan oleh Nik Abduh, kata Mahfuz, tidak boleh dianggap pendapat peribadi kerana Nik Abduh dipercayai terlibat mewakili Pas dalam perbincangan penyatuan dengan Umno sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Persoalannya sampai bila Pas dan Umno akan bermain dengan kenyataan penyatuan tanpa ketentuan. Tidak cukup sekadar berbalas kenyataan menyambut baik penyatuan sedangkan tiada keberanian yang nyata. Saya faham penyatuan yang dimaksudkan bukanlah bergabung dengan Umno tetapi sudah pasti yang dimaksudkan ialah kerjasama politik dan dakwah
“Selepas Pas meninggalkan rakan pembangkang sewajarnya Pas dan Umno tidak boleh membiarkan kedua-dua parti berebut pengaruh di kalangan pengundi Melayu tetapi sebaliknya perlu berkongsi sokongan untuk servival parti dan kuasa politik Melayu. Soalnya bila mahu dimulakan.
“Pada saya sebaiknya dua PRK Sg Besar dan K. Kangsar sebagai medan permulaan. Bagi saya masih belum terlambat sebelum hari mengundi pada 18 Jun ini untuk kedua dua parti Pas dan Umno membuat kesepakatan yang terang dengan mengorbankan satu kerusi PRK yang ditandingi kali ini.
“Ini akan lebih mudah difahami dari isyarat-isyarat yang sukar kepada pengundi. Dan ini akan lebih menguntungkan dari kedua-dua parti terus berlawan yang berkemungkinan ada parti tak menang langsung pada PRK ini,” sinis Mahfuz.