DAP berharap pengundi Sungai Besar yang tinggal di luar kawasan Parlimen itu akan pulang mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Sabtu ini bagi memastikan kemenangan calon Amanah.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata kebimbangan besar pembangkang adalah bilangan pengundi luar tidak pulang untuk mengundi.
“Kebimbangan besar adalah bilangan pengundi kurang mengundi. Kerana kita hanya mampu mencapai 88% sahaja pada pilihan raya umum lalu.
“Bukan mudah untuk mencapai bilangan pengundi yang tinggi memandangkan ini hanyalah pilihan raya kecil (PRK),” katanya di sidang media di Pejabat DAP Sekinchan, hari ini.
Kit Siang berkata akan menjadi satu “keajaiban” sekiranya pengundi luar pulang mengundi dan memilih pembangkang.
Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata bilangan pengundi luar yang datang mengundi akan menentukan keputusan pilihan raya ini.
“Sama ada kita akan mencapai matlamat dan melakukan kejutan semuanya bergantung kepada berapa ramai yang pulang nanti,” katanya.
Ujarnya, DAP sendiri mengerahkan jentera menyakinkan pengundi agar pulang untuk mengundi.
“Kita juga telah menyewa bas bagi membolehkan pengundi di luar kawasan seperti di Singapura pulang.
“Selain itu, kita juga menyebarkan ia melalui media. Setakat ini kita mendapat maklum balas yang positif,” katanya.