MB Selangor Datuk Seri Azmin Ali akhirnya turun berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Sabak Bernam petang semalam.
Beliau menghadiri majlis berbuka puasa anjuran kerajaan negeri di Sungai Besar yang turut dihadiri calon Pas Dr Rani Osman.
Dalam majlis itu Azmin menjelaskan ketidakhadirannya sepanjang pusingan pertama kempen adalah disebabkan jadual ketat mengiringi acara berbuka puasa Sultan Selangor.
Azmin berbelah bahagi
Persoalannya, tidak bolehkah Azmin berkempen pada waktu lain? Berbuka puasa sekitar pukul 6.00 petang hingga 8.00 malam. Azmin boleh berkempen pada waktu pagi, tengah hari mahu pun malam selepas solat tarawih.
Alasan yang lebih munasabah dan telah sedia diketahui rakyat Selangor ialah beliau berbelah bahagi sama ada untuk menyokong Pas atau pun Parti Amanah Negara (Amanah). Azmin terhutang budi kepada Pas kerana Presiden Hadi menyebut namanya dalam mesyuarat Dewan Harian Pas sewaktu konflik mencalonkan Menteri Besar Selangor pada 2014 lalu. Hadi menyebut nama Azmin di samping Dr Wan Azizah yang dipersetujui Pakatan Rakyat ketika itu. Namun ketika nama dihantar kepada Sultan Selangor Hadi menamakan 3 Exco Pas dalam kerajaan Selangor, nama Azmin tidak dicalonkan.
Sikap terhutang budi itu menyebabkan Azmin ‘kurang’ berkempen sebagaimana rakan-rakan PKR lain. Bagaimanapun, sikap Azmin itu menyusahkan PKR dan Pakatan Harapan Selangor menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 14 kelak.
Dasar Azmin mengekalkan Pas sebagai sekutu dengan alasan mereka bersama-sama ketika PRU ke 13 lalu. Kononnya kehendak rakyat mahukan kerajaan negeri ditadbir oleh 3 parti; DAP, PKR dan Pas. Hakikatnya tiada undang-undang atau peraturan tidak rasmi sekali pun yang mensyaratkan pemenang pilihan raya adalah pentadbir sehingga akhir penggal. Malah kerajaan persekutuan BN pun boleh dijatuhkan sekiranya cukup ahli parlimen yang membelot daripada menyokong PM Najib Razak.
Ahli Pas putus hubungan
Azmin perlu segera mengambil pendirian. Pada peringkat bawahan ahli Pas memang telah pun memutuskan hubungan dengan PKR. Sesetengahnya tidak berselindung menyatakan kebencian kepada kepada ahli PKR dan Amanah dalam komen-komen mereka di Facebook serta WhatApps.
Mereka juga mahu menuntut kerusi Pas yang ditandingi PKR. Tidak mustahil separuh kerusi PKR Selangor akan menghadapi cabaran 3 penjuru menentang BN dan Pas pada PRU 14. Adakah Azmin akan berunding dengan Pas untuk bertanding satu lawan satu?
Hanya penasihat bodoh yang akan menasihati Azmin melakukannya. Percubaan pada PRK agar Pas mengambil kerusi Kuala Kangsar dan PKR di Sungai Besar berakhir dengan kegagalan. Apatah lagi perkembangan terbaharu Umno menjadi ‘rakan’ Pas dalam usaha meluluskan hukum hudud.
Sikap Pas berbaik-baik dengan Umno amat jelas. Selain pemimpin utama Pas meraikan tanjak dan keris, pakaian utama ahli Umno untuk dipakai mereka dalam Muktamar Pas ke 62 lalu, penyokong Pas juga tidak lagi elergi terhadap ustaz-ustaz Umno. Malah di Kuala Kangsar, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Asyraf Wajdi dipelawa menjadi imam solat tarawih oleh penyokong Pas.
Kelewatan Azmin bertindak hanya akan ‘melekakan’ jentera PKR. Mereka masih menyangka ada tugasan-tugasan yang boleh diserahkan kepada Pas di Dun yang dimenangi oleh PKR. Sedangkan realitinya memberi tugas kepada orang Pas di Dun PKR menyebabkan rakyat yakin untuk mengundi Pas dalam PRU.
Di Dun yang dimenangi Pas, PKR sebaiknya perlu bersiap sedia sekiranya kerusi itu akan ditandingi PKR. Oleh itu pemimpin PKR wajib bersedia mulai sekarang.
Mungkin Azmin tidak perlu memecat exco Pas Selangor namun sebaik-baiknya beliau mengarahkan pemimpin bawahan PKR agar lebih kerap melibatkan ahli-ahli Amanah dalam gerak kerja bersama. Misalnya dalam program kerajaan negeri di peringkat Dun. Pemimpin PKR juga perlu menghadirkan diri dalam jemputan mesyuarat Amanah dan tidak lagi perlu memenuhi jemputan Pas.
Strategi caca marba
Dengan strategi yang seolah-olah caca marba di Selangor ini, masa hadapan PKR dalam bahaya. PKR tidak boleh mengubah persepsi pengundi pada saat-saat akhir sebelum mengundi. Persepsi sama ada mengundi PKR atau Pas perlu dibentuk dari awal kerana Pas tidak akan berunding kerusi dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.
PKR Selangor sebelum ini menghadapi kerugian apabila Pas bertanding di kerusi Kota Damansara yang ditandingi oleh PKR sebelumnya. Akibatnya, penyokong Pas mengundi Pas dan penyokong PKR mengundi calon PKR. BN memenangi kerusi tersebut.
Sekiranya persediaan awal dilakukan dan penyokong Pas boleh diubah menjadi penyokong PKR maka tidak mustahil kerusi Kota Damansara dapat diselamatkan.
Sekiranya Azmin tidak bersedia menghadapi situasi terbaharu di Selangor ini maka banyak kerusi PH akan terlepas kepada BN dalam PRU 14 nanti. Pas akan bertanding bertindih dengan PH bagi memastikan BN memiliki kerusi cukup untuk membentuk kerajaan negeri.
Selepas PRK Sungai Besar ini sikap PKR Selangor wajib berubah. Sekiranya Azmin gagal berbuat demikian maka PKR perlu menggantikan beliau sebagai pengerusi perhubungan Selangor. Calon lain yang boleh mengikut arahan parti perlu diberi peluang untuk mengatur strategi menghadapi Pas dalam PRU 14.