Amanah tidak menjadikan penerangan isu hudud sebagai agenda utama kempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sebaliknya akan menumpukan isu ekonomi, rasuah dan salah guna kuasa yang dianggap lebih mendesak.
“Kita sebenarnya dalam Pakatan Harapan (PKR, DAP, Amanah) tidak menjadi satu agenda bersama (dalam isu hudud),” kata Ahli Jawatankuasa Amanah, Datuk Phahrolrazi Zawawi kepada FMT.
“Sama juga BN mereka pun tidak ada satu proses tersebut (agenda bersama sokong hudud), ini agenda PAS sebenarnya, malah kita Pakatan Harapan tidak ada agenda yang khusus mengenai isu hudud setakat ini
“Malah dalam kontek perlaksanaan Islam ini kita (Pakatan Harapan) lebih kepada isu melibatkan rakyat seperti tekanan hidup, masalah ekonomi yang dihadapi rakyat,” katanya.
Phahrolrazi turut mengakui pengundi Melayu di kedua-dua kawasan Parlimen itu masih belum mengenali parti serpihan PAS itu.
“Setengah pengundi Melayu (Kuala Kangsar dan Sungai Besar) masih lagi tidak mengenali Amanah dan Pakatan Harapan, jadi itu menjadi tugas yang agak lebih kepada petugas Amanah untuk menerangkan kepada rakyat tentang Amanah dan kewujudan Pakatan Harapan,” kata beliau.