Jika tuntutan oleh IPIC melalui Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa London berjaya, Malaysia akan dihempap oleh beban kewangan sebesar RM 26.7 bilion, kata Adun Salor Datuk Husam Musa.
Husam mempersoalkan apakah tindakan pentadbiran PM Najib pada 2014 selepas Gabenor Bank Negara Malaysia melalui dua memorandum telah memberikan amaran kepada Kerajaan terhadap risiko gegaran kewangan yang akan ditanggung oleh negara dari ‘aktiviti’ 1MDB.
Kemudian, katanya, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pula telah mengesahkan dalam laporannya sejumlah RM 4.51 bilion dibayar kepada Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI) tanpa kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB.
Selain itu, menurut Husam, dokumen 1MDB juga menunjukkan berlaku pembayaran lain kepada Aabar BVI berjumlah AS$ 2.1 bilion.
“Wang itu sepatutnya dibayar oleh 1MDB kepada anak syarikat IPIC bernama Aabar Investments PJS tetapi telah dibayar kepada Aabar yang lain – iaitu Aabar BVI!
“Namanya seakan sama, ejaan sahaja berbeza. Seperti kata Tan Sri Muhyidin, 1MDB gagal membezakan antara Muhyidin dan Mahyidin.
“Inilah yang menyebabkan IPIC dan Aabar meneruskan tuntutannya selepas beberapa kali mengeluarkan kenyataan 1MDB telah memungkiri komitmen seperti perjanjian. Aabar yang sebenar tidak dibayar.
“Hasilnya, wang sejumlah AS$ 3.47bilion atau bersamaan RM14.2 bilion dikebas orang!” kata Husam dalam satu kenyataan.
Siapakah ‘orang’ itu?
Husam juga memetik kenyataan Arul Kanda, Presiden dan CEO 1MDB pada akhir April lalu mengenai kemungkinan 1MDB telah ‘ditipu secara besar-besaran’.
“Bukankah kenyataan Arul itu berat? 1MDB ditipu! Bersekali dengan PM ditipu kerana beliau mempunyai kedudukan tertinggi dalam 1MDB
“Dalam jawapannya di Parlimen pada April tahun ini – hanya berbeza hari dengan kenyatan Arul – ‘terlalu awal untuk menyimpulkan adanya unsur penipuan’.
“Kenapa terdapat kesimpulan yang begitu ketara perbezaan antara dua kenyataan ini? Satu, 1MDB ada kemungkinan ditipu kerana membuat pembayaran yang salah. Satu lagi, cuba menolak adanya unsur penipuan.
“Jika bukan kerana ditipu dan niat buruk melarikan wang itu, kenapa pembayaran itu dibuat? Bukan sekali, tetapi empat pembayaran tanpa kelulusan Lembaga Pengarah,” sinis Husam.
Menurut Husam lagi, jika sedikit sahaja semakan dibuat oleh 1MDB sebelum pembayaran dibuat tentunya mereka mendapati tidak ada nama Aabar BVI dalam senarai anak syarikat IPIC seperti Laporan Tahunannya bagi tahun 2011 sampai 2014 dan dalam laporan interim bagi tahun 2015.
“Jika Arul mengatakan ada kemungkinan unsur jenayah dalam salah pembayaran sebesar ini, apa tindakan yang telah Arul lakukan?
“Laporan polis? Laporan kepada PM?
“Apa pula tindak balas PM? Mengarahkan polis menyiasat?
“Adakah PDRM akan bergerak seperti kura-kura jika PM telah mengarahkan mereka memberkas siapa jua yang terlibat?
“Apa langkah Menteri Kewangan atau PM untuk menuntut semula wang itu?
“Apa pun, mengikut Artikel 117, MNA 1MDB, kuasa pemutus dalam 1MDB tidak lain dan tidak bukan adalah PM sendiri.
“Kenapa beliau tidak bertindak?” soal Husam lagi.
Seterusnya Husam mempersoalkan adakah wang sebesar RM 14 bilion tidak pulang semula ke pangkuan perancangnya?
“Sudah tentu dua figur dalam IPIC dan Aabar PJS yang telah dipecat, iaitu Khadem al Qubaisi dan Mohamed al Husseiny mempunyai jawapannya ke mana wang itu telah diagih-agihkan.
“Tetapi kerana PM kita tidak berminat untuk tahu ke mana wang yang telah dibayar oleh rakyat Malaysia dan negara ini dilarikan oleh Aabar BVI atas sebab yang ia sendiri tahu, pihak berkuasa kita tidak diarahkan untuk menyoal siasat ke dua mereka.
“PM tidak kelihatan agresif mempertahankan kepentingan negara!” katanya.