“Jika undi Amanah seperti undi DAP maka undi Umno bermakna undi MCA lah. Sedangkan DAP menentang rasuah manakala MCA terpalit bersama Umno. Oleh itu, masyarakat Melayu mesti bijak memikir sebelum mengundi,” tegas Khalid Samad, Pengarah Komunikasi Amanah.
Beliau berharap pengundi Melayu tidak akan termakan propaganda kononnya satu undi untuk Amanah seperti undi untuk DAP.
Khalid menggesa masyarakat Melayu yang sejak sekian lama dihasut propaganda palsu kononnya DAP parti cauvinis Cina berubah pada pilihan raya kecil kali ini.
Beliau juga mahu pengundi Melayu membuka mata dan melihat siapakah pemimpin yang melaksanakan dasar yang membebankan rakyat seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang telah meningkatkan harga barang dan siapakah pula pemimpin yang boros berbelanja?
Sementara itu, ahli jawatankuasa nasional Amanah Ir Nizar Jamaluddin menasihatkan pengundi sedar punca sebenar kehidupan mereka menjadi sukar. Bukan kerana DAP sebab parti itu tidak pernah memerintah negara, tetapi disebabkan dasar BN yang tidak mengutamakan rakyat.
“Sebelum mengundi, pengundi di kawasan Parlimen Kuala Kangsar harus sedar bahawa kerajaan BN lah yang melaksanakan GST. Adakah para pengundi ingin terus dibebani (pelbagai cukai baharu) dengan mengundi BN lagi?” tanyanya
Kedua-dua pemimpin itu bersetuju sekiranya pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar masih lagi menyokong BN, maka lebih banyak dasar yang membebankan rakyat yang akan dilaksanakan.