Berita baik menjelang hari membuang undi, sumber DAP menyatakan DUN Sekinchan yang menjadi kubu kuat parti itu sejak 2004 di parlimen Sungai Besar akan memberi undi sebanyak mungkin kepada Parti Amanah Negara (Amanah).
Kenyataan itu tidak jauh berbeza dengan keyakinan Presiden Amanah Mohamad Sabu petang tadi bahawa partinya telah meninggalkan BN dan Pas dan mencatat sokongan hingga 55%.
“Sekinchan tak perlu bimbang, culaan DAP menunjukkan kita pegang (kuasai) Sekinchan. Amanah perlu dapatkan sokongan daripada pengundi Melayu di Sungai Besar sahaja,” kata sumber DAP berkenaan.
Menurutnya pengundi Cina tidak akan memberi undi kepada Pas pada pilihan raya kecil (PRK) kali ini. Cuma isu yang digunakan Amanah untuk meraih undi seperti 1MDB dan derma Najib RM2.6 bilion tidak menarik perhatian.
Sebaliknya DAP menggunakan kaedah lain dalam berkempen meyakinkan masyarakat Cina. Bagaimanapun, sumber berkenaan tidak pula memberitahu jumlah undi yang boleh diperolehi dalam kalangan masyarakat India di Sungai Besar yang jumlahnya hampir 2%.
PRK Sungai Besar akan bermula pukul 8.00 pagi esok dan berakhir pada pukul 5.00 petang.
DAP menggerakkan jenteranya untuk memastikan pengundi luar pulang mengundi. Jangkaan awal, sekiranya peratus keluar pengundi mencecah 78%, Amanah boleh memenangi PRK. Namun jika peratusan di bawah 75% maka BN dijangka mengekalkan penguasaan di kawasan itu sejak merdeka.