Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan angka rasmi keluar mengundi adalah 71% bagi parlimen Kuala Kangsar dan 74% di Sungai Besar.
Menurut pensyarah Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berdasarkan peratusan keluar mengundi di Sungai Besar, terutama pengundi Cina yang kurang teruja mengundi maka BN boleh mempertahankan kerusi parlimen mereka.
“Saya lihat jika peratus undi Cina keluar mengundi rendah, ini bermakna BN ada harapan untuk menang, ditambah pula dengan peraih dan jentera kempen BN yang kerja berganda dan mempunyai sasaran khusus terhadap Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya kepada FMT.
Keyakinan sama turut diutarakan penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani yang berpandangan BN berpeluang mengekalkan kemenangan sekiranya peratusan keluar mengundi rendah.
Hal ini kerana, katanya, pengundi bekerja di negeri lain yang tidak pulang mengundi terdiri daripada golongan muda yang dilihat mampu meningkatkan undi buat pihak pembangkang.
“Saya rasa jika peratusan keluar mengundi rendah ianya akan memberi kelebihan kepada BN. Pengundi luar ramai di kalangan pengundi muda dan pengundi Cina, ditambah pula BN sekarang ini mampu menarik pengundi ‘putih’ yang menyokong mereka balik mengundi.
“Saya lihat BN akan menang tipis di Sungai Besar. Namun, Amanah mungkin boleh buat kejutan di Kuala Kangsar.
“Tetapi, setakat ini di Kuala Kangsar, BN masih mampu menang jika peratusan undi rendah…pada pandangan saya,” katanya kepada FMT.
Bagi Sungai Besar peratusan keluar mengundi pada PRU lalu sekitar 88%yang menyaksikan calon Pas ketika itu tewas di bawah 1000 undi menghadapi calon BN
Namun keputusan sama mungkin tidak boleh berulang memandangkan peratusan keluar kurang 14% daripada 2013 lalu