9.55pm: Sg Besar – Keputusan rasmi:
BN: 16, 800
AMANAH 7,609
PAS: 6,902
Majoriti: 9,191
Analisis peti undi
Calon AMANAH kalah teruk di kawasan Melayu Sungai Besar dengan sesetengah peti undi, parti itu gagal mendapat lebih daripada 20 undi.
Manakala bagi peti undi di kawasan Melayu, PAS masih boleh menyaingi BN. Beza undi kedua-duanya antara 50 hingga ratusan undi sahaja.
Contohnya, peti undi bagi saluran di Kawasan Melayu Sungai Leman Kampung Darat, AMANAH mendapat 25 undi, BN (275) dan PAS (105).
Manakala peti undi bagi saluran Kawasan Melayu Sek Keb Tok Khalifah pula seperti berikut: AMANAH 7, BN (157) dan PAS (100).
Bagi kawasan Cina, undi pula kelihatan berpecah kepada AMANAH dan BN dengan kebanyakannyaberbeza tidak lebih 50 undi.
Hal ini menunjukkan BN masih boleh bertanding dengan AMANAH dan mengaut hampir separuh undi di kawasan Cina.
Contohnya, peti undi saluran bagi pusat daerah mengundi Sekinchan Selatan – AMANAH mendapat sebanyak 150, BN (106) dan PAS (2).
Manakala bagi peti undi saluran di pusat mengundi SMJK Yoke Kuan AMANAH memperolehi 171 undi, BN (154) dan PAS (33).
PAS teruk di kawasan Cina
9.30pm: Sg Besar – PAS hilang sebahagian besar sokongan di Sekinchan, kawasan majoriti Cina.
Ia berdasarkan keputusan tidak rasmi di lima kawasan majoriti Cina di kawasan itu – Sekinchan, Sekinchan Selatan, Sekinchan Tempatan Selatan, Sekinchan Tempatan Tengah dan Sekinchan Tempatan.
Data-data itu menunjukkan PAS hanya mendapat 292 undi, jauh di belakang calon AMANAH yang mendapat 3,502 undi. BN mendapat 2,909 undi.
Calon AMANAH anggap keputusan hebat
9.10pm: Sungai Besar – Calon AMANAH Azhar Abdul Shukur lega walaupun beliau sekadar menduduki tempat kedua.
“Hebat, lebih baik daripada dijangkakan,” katanya.
Calon BN tiba di pusat penjumlahan undi Sg Besar
9:05pm: Dewan Seri Bernam, Sungai Besar – Calon BN, Budiman Mohd Zohdi tiba di pusat penjumlahan undi di sini.
Turut berada di sana termasuk, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos.
Terdahulu di pusat operasi PAS di Simpang Lima, Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan ucapan terima kasih kepada jentera PAS sebelum memulakan solat terawih.
BN secara tidak rasmi telah memenangi kerusi Sungai Besar dengan majoriti lebih tinggi.
BN menang di Kuala Kangsar
Di Kuala Kangsar, SPR mengumumkan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid sebagai pemenang bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Mastura meraih 12,653 undi manakala calon Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684 undi), calon Amanah, Ahmad Termizi Ramli (4,883 undi) manakala calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (54 undi).