Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar jelas menunjukkan bahawa Amanah memang mampu bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti. Tetapi apa yang paling membimbangkan untuk Pakatan Harapan (PH) sekarang ialah tanda-tanda pengundi Cina telah kembali menyokong BN.
Di Sungai Besar, BN telah memperolehi 16,800 undi, Amanah 7,609 undi dan PAS 6,902 undi. Dalam pilihanraya umum yang lalu, BN telah menang dengan majoriti 399 undi.
Di Kuala Kangsar pula, BN telah meraih kemenangan dengan 12,653 undi, PAS telah memperolehi 5,684 undi dan Amanah 4,883 undi.
Keputusan di atas menunjukkan BN bertambah kuat kerana walaupun undi yang diperolehi oleh Amanah dan PAS dicampurkan, BN pun masih menang dengan kelebihan 2,000 undi untuk Sungai Besar dan juga untuk Kuala Kangsar. Ini bererti kalau Amanah atau PAS sahaja yang bertanding melawan BN 1 lawan 1, BN masih akan menang.
Di Sungai Besar, undi Amanah dicampur undi PAS bersamaan 14,511 undi. Di Kuala Kangsar pula undi Amanah dicampur undi PAS bersamaan 10,567 undi
Hakikat yang harus diterima oleh PH ialah pengundi Cina mungkin secara besar-besaran akan mengundi BN dalam PRU14 nanti. Titik permulaan ini bermula dalam pilihanraya negeri Sarawak Mei lalu dan sekarang pula di dua PRK.
Amaran yang diberi oleh pengundi Cina patut diberi perhatian lanjut oleh ketiga-tiga parti dalam Pakatan khususnya DAP. Kalau tindakan awal tidak diambil untuk mencari sebab masalah ini, maka PH pasti akan mengalami kesusahan dalam PRU14.