Seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor dari DAP hari ini menasihatkan Barisan Nasional (BN) berusaha menjadi pembangkang yang kredibel sebelum bercita-cita mahu mengambil alih negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.
Adun Kampung Tunku, Lau Weng San berkata BN masih tidak melantik seorang ketua pembangkang DUN negeri itu, di samping enggan menerima peruntukan kerajaan negeri dan memulau Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC).
“Sekiranya mereka masih gagal mengisi kekosongan tersebut, maka ini hanya sekali lagi membuktikan bahawa BN dan Umno masih belum bersedia mengambil alih kerajaan Selangor dan segala hujah berkaitan dengan perkara ini hanya omong-omong kosong semata-mata,” kata Lau, mengulas keyakinan di kalangan pemimpin BN mengenai peluang mengambil alih Selangor selepas kemenangan besar di Sungai Besar, Sabtu lepas.
Selangor jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum 2008, dan diperintah kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS.
Pada 2014, Datuk Mohd Shamsudin Lias meletak jawatan ketua pembangkang DUN Selangor selepas enggan memegang jawatan pengerusi PAC yang ditetapkan bagi seorang ketua pembangkang.
Lau berkata tindak-tanduk BN di Selangor menunjukkan budaya politik Umno “yang masih ketinggalan zaman”.
“Pembangkang BN Selangor tidak ingin menerima tawaran ini kerana dipercayai ianya akan memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan BN kerana kerajaan BN tidak memperuntukkan jawatan pengerusi PAC Parlimen untuk dipegang oleh Ketua Pembangkang Dewan Rakyat biarpun ianya jawatan yang diiktiraf Dewan Rakyat,” kata beliau.
Beliau turut mengkritik ahli Parlimen Sungai Besar yang baharu, Budiman Mohd Zohdi kerana enggan menyatakan sama ada akan menerima peruntukan negeri.
“Bukankah baik kalau beliau menerima tawaran ini dan membantu rakyat di kawasannya yang memerlukan bantuan?
“Atau beliau lebih rela mengambil arahan daripada pimpinan parti sehingga sanggup menggadaikan kepentingan pengundi-pengundinya?”