Pasca pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar menyaksikan harga barang pengguna naik melambung-lambung seolah-olah tiada kawalan pihak berkuasa.
Sementara kerajaan BN pula merasakan diri mereka kebal tidak lagi perlu melihat kesensaraan rakyat. Lebih buruk, kenaikan harga akibat GST didakyahkan sebagai kelemahan rakyat kerana terlalu banyak berbelanja sehingga kekurangan stok di pasaran.
Tinjauan Suara pakatan daily (SPD) ke pasar pagi Taman Sri Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini disambut rungutan spontan seorang suri rumah.
“Harga kini sudah gila dan pasar pagi tempat untuk dapat sakit jantung,” katanya ketika wartawan SPD mendapati sebiji bawang putih saiz sederhana berharga RM1.50 dan 3 ketul ubi kentang saiz kecil berharga RM3.00 setelah ditimbang.
Mengulas isu sama, bekas penyelia stor barangan runcit, Alan Chong, 63, dari Setapak Jaya, Kuala Lumpur berkata, kenaikan harga menyebabkan beliau dan keluarga terpaksa menukar diet harian kepada roti dan bihun sahaja.
“Setiap hari kami hanya makan roti, mi segera atau bihun goreng, telur dan bawang serta minum air sahaja. Kami makan sekadar cukup untuk hidup sebab perlu berjimat membayar bil-bil bulanan kerana harga barang runcit kerap naik sejak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada April tahun lalu,” katanya yang masih menanggung seorang anak perempuan dan isteri.
Chong menyelar pendapat menteri kononnya GST tidak meningkatkan harga. Katanya, beliau amat arif mengenai harga barang runcit kerana telah puluhan tahun bekerja sebagai pembantu stor barangan runcit. Harga barang malambung tinggi selepas perlaksanaan GST, katanya.
Seorang ibu tunggal Kimberly Lee, 45, yang mempunyai 2 orang anak lelaki masih di bangku sekolah menengah memberitahu harga barang kini sudah berada di paras yang terlampau tinggi.
Beliau memberi contoh satu tin sardin saiz sederhana 230 gram yang dulunya berharga RM3.80 kini sudah berharga RM5.75.
“Tahun lalu gaji saya sekitar RM1,600 atau RM1,700 sebab kilang tempat kerja saya ada banyak kerja tambahan tetapi sejak April tahun ini semua ‘overtime’ sudah tiada. Oleh itu, gaji saya sekarang hanya RM1,300 sahaja. Saya amat tertekan,” rungut Lee.
Beliau berkata gajinya tidak cukup untuk membiayai tuisyen anak-anak. Bulan lalu, katanya, apabila bateri keretanya perlu diganti beliau terpaksa meminjam daripada anak sulung yang berkerja sambilan sementara menunggu keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia.