Pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar memberi pengajaran berguna buat Parti Amanah Negara bahawa mereka perlu memperkenalkan secara lebi agreasif parti itu dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, kekurangan maklumat adalah salah satu faktor Amamah tidak mampu meraih undi yang tinggi dalam dua PRK lalu.
“Memandangkan Amanah hanya berusia 9 bulan 3 hari sewaktu bertanding di Pilihanraya Kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, saya berpendapat tahap prestasi kami agak memuaskan.
“Namun demikian, nama Amanah harus diperhebohkan lagi kepada lebih ramai pengundi sebelum Pilihanraya Umum Ke-14,” kata Nizar ketika diminta mengulas mengenai keputusan PRK Kuala Kangsar, 18 Jun lalu.
Dalam PRK itu, Amanah meraih 7609 undi di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar Amanah memperolehi 4883 undi.
Di Sungai Besar, menurut kajian awal, terdapat pengundi Cina yang mengundi BN kerana tidak pasti pendirian Amanah, di samping tidak mengenali parti itu.
“Walaupun begitu, pemimpin Amanah adalah orang yang berpengalaman dan boleh diterima oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Cuma sekarang ada ramai pengundi Cina yang ‘confuse’ mengenai PAS dan Amanah. Ini bermakna kami perlu berusaha dengan lebih tekun lagi untuk mendekati semua pengundi terutamanya pengundi wargamas yang tidak celik teknologi dan tidak melayari laman sesawang,” tambah Nizar.
Dapatan kajian awal DAP menyebut pengundi Cina di Sungai Besar ‘rasa lebih selesa’ dengan BN berbanding dengan sebuah parti baru seperti Amanah yang telah berpecah daripada Pas.
Ada pendapat mengatakan Pakatan Harapan mesti memberi jenama baru (rebranding) kepada Amanah supaya Amanah tidak lagi dibayangi oleh Pas yang mana perkara ini telah menyebabkan pengundi bukan-Melayu terutamanya Cina kembali menyokong BN.