Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar jelas menunjukkan pertandingan tiga penjuru hanya memanfaatkan Barisan Nasional (BN).
Namun, sikap PAS tidak menunjukkan ia mempelajari sesuatu dari keputusan ini. Sebaliknya, pemikiran pemimpin dan pengikut tegar PAS sedang melalui proses nafi-rasionalisasi (deny and rationalise).
DAP dijadikan jembalang dan Amanah dituduh boneka DAP. Orang Melayu ditakutkan-takutkan: jika Pakatan Harapan memerintah, negara akan dipimpin DAP.
Pemimpin PAS tahu ini tidak benar. DAP sentiasa menerima peruntukan kerusi paling sedikit dalam pakatan pembangkang. Kalau pun DAP menang di kesemua kerusi yang ditandinginya ia masih tidak menguasai majoriti.
Justifikasi yang diberi watak-watak dalam PAS dalam mempertahankan tindakannya keluar dari Pakatan Rakyat dan bermanja dengan Umno ialah ia perlu demi kepentingan Islam.
Seorang lebai PAS berhujah, PAS menolak langkah September 16 Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana langkah itu dikatakan akan menjadikan orang bukan Islam majoriti di Parlimen.
Lebai ini mendakwa sebanyak 80 ahli Parlimen Sabah akan menyertai kerajaan baru pasca-September 16. Ini akan menjadikan ahli Parlimen beragama Islam golongan minoriti. Maudu’ ucapan ini seolah-olah datang dari skrip yang disediakan Biro Tata Negara (BTN). Mungkin si lebai ini gagal mata pelajaran ilmu hisab di sekolah rendah dahulu.
Sabah hanya mempunyai 24 kerusi Parlimen dan Sarawak pula mempunyai 31 kerusi. Jumlahnya ialah 55, bukan 80. Daripada 19 ahli Parlimen BN Sabah pada pilihanraya ke-12, hanya 10 adalah bukan Islam. Sarawak pula mempunyai 19 orang ahli Parlimen BN bukan Islam.
Selain dakwaan salah mengenai ahli Parlimen dari Sabah, lebai ini turut membuat beberapa tuduhan palsu lain. Bahasa yang digunakannya kesat dan bengis. Sukar memahami bagaimana orang berpendidikan agama boleh bertindak sebegini.
Seperti biasa, logik yang digunakan PAS ialah hujah perlunya mengekalkan majoriti orang Islam di Parlimen. Landasan kepada hujah ini ialah Islam akan terjamin hanya bila orang Islam menguasai majoriti dalam kerajaan. Sekiranya majoriti ini terjejas, Islam akan hancur.
Hujah ini kelihatan meyakinkan dan mudah diterima ramai orang Melayu yang tidak berpendidikan. Ia menjadi justifikasi kenapa dua parti Melayu terbesar, iaitu PAS dan Umno, perlu bersatu. Adakah hujah ini berasas?
Masa depan Islam bukanlah suatu yang tertakluk pada mana-mana bangsa. Kekuatan Islam terletak pada risalahnya. Malahan, jika kita meneliti negara di mana orang Islam adalah majoriti, keadaan rakyat mereka tidaklah membanggakan. Rasuah dan penyelewengan berleluasa.
Penindasan berterusan. Golongan minoriti diabaikan dan sering menjadi mangsa keganasan.
Walaupun ada di antara negara ini turut melaksanakan hudud, pemimpin tertinggi terkecuali daripada undang-undang ini. Mereka dan ahli keluarga mereka hidup mewah dan berpoya-poya. Islam digunakan mengawal dan memperdayakan rakyat.
Adakah ini bentuk pemerintahan majoriti Islam yang kita inginkan? Adakah pemerintahan majoriti Islam yang sebegini menggambarkan “rahmatan lil alamin”? Di manakah komitmen dan keazaman membina satu masyarakat dan tamadun yang menegakkan keadilan sosial?
Kenapa negara pemerintahan majoriti Islam tidak menjadi tauladan masyarakat yang bersih persekitarannya, terbuka para pemimpinnya, komited memelihara alam sekitar dan mementingkan institusi keluarga?
Apakah makna menjadi pemerintah majoriti sekiranya rasuah berleluasa, hutan ditebang sehingga menyebabkan banjir dan penyalahgunaan kuasa menjadi kebiasaan?
Mereka yang sepatutunya menguatkuasa undang-undang sibuk melindungi elit yang mencabul undang-undang. Keadilan diabaikan, rakyat yang bersuara ditindas tetapi wang tebusan yang hilang enggan disiasat dan pedofil memperkosa kanak-kanak tidak dapat dikesan.
Adakah ini pemerintahan majoriti Islam yang kita banggakan dan berjuang untuk kekalkan?
Dalam Al-Quran, hanya satu ayat menyebut mengenai hukum hudud. Tetapi terdapat 24 ayat yang menyebut mengenai keadilan. Nyata sekali menjamin keadilan itu tanggungjawab penting dan utama setiap orang beriman dan pemerintah yang ingin membawa masyarakat lebih hampir kepada Islam.
Tidak mungkin hukum hudud akan dapat ditegakkan dengan adil dalam sistem di mana rasuah menjadi lumrah dan agensi penguatkuasa undang-undang bertindak sebagai juak kepada pemerintah yang korup.
Orang miskin yang mencuri makanan dihukum tetapi mereka yang melenyapkan berjuta-berjuta dan berbilion-bilion dibiarkan.