Pemimpin karismatik PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua parti pembangkang mengambil ikhtibar dan bermuhasabah di atas keputusan pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar serta memahami dengan amat mendalam akan kelemahan mereka.
Menurut Ketua Umum KEADILAN itu, sekarang bukanlah masa untuk mencari alasan atau menuding jari kepada satu sama lain.
“Kita perlu sentiasa ingat bahawa kita mempunyai satu kewajipan untuk menjadi alternatif tulen buat rakyat.
“Ketepikan perbezaan dan perbalahan. Sampaikan keluhan dan rungutan dengan saluran yang betul; duduklah bersama untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, saudara Anwar juga berkata, kebajikan dan negara perlu diutamakan kerana itulah punca mereka berkhidmat untuk rakyat dan menumbangkan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke -14 (PRU14) nanti.
“Kita perlu kalahkan BN dalam PRU14, kita perlu berjaya demi Malaysia!
“Mereka yang tidak percaya ini boleh dilakukan dalam PRU yang akan datang, adalah salah. Tetapi untuk melaksanakannya, kita perlu bersatu.
Justeru itu, saudara Anwar menegaskan lagi bahawa pelaksanaan tersebut bukanlah perkara yang mudah, malah mereka perlu hadapi keseluruhan kekuatan dan taktik BN yang tidak demokratik.
“Ini bukanlah perkara yang mudah; kita perlu hadapi keseluruhan kekuatan dan taktik BN yang tidak demokratik. Tetapi usaha kita ini murni, walhal mereka hanya memegang kuasa demi kuasa. Jika kita bersatu demi rakyat, kita akan berjaya,” katanya.