Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu mendakwa tindakan pihak berkuasa menahan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membuktikan kerajaan BN melakukan pendakwaan terpilih.
Mengakui kagum dengan kecekapan pihak berkuasa terhadap isu membabitkan pemimpin pembangkang, Mohamad mempersoal mengapa tindakan sama tidak dilakukan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
“Di sebelah pihak lagi, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak mengaku terang-terangan bahawa beliau menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau.
“Namun Peguam Negara diarah berhenti, Timbalan Perdana Menteri dipecat, Menteri Luar Bandar dipecat, Menteri Besar Kedah dipecat, Timbalan Pengarah Cawangan Khas ditukar tempat kerja, pegawai-pegawai SPRM disiasat dan pucuk kepimpinan SPRM pula berhenti secara mengejut,” katanya dalam satu kenyataan.
Di samping mengharapkan Setiausaha Agung DAP itu diadili sebaik-baiknya, Mohamad turut menyeru rakyat terus bangun melawan rasuah dan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau RM2.6 bilion dan pelbagai skandal yang lain.
Mohamad yang juga kawan karib kepada Lim Guan Eng ketika mereka ditahan di bawah ISA satu masa dahulu berkata, Setiausaha DAP itu pernah dipenjara kerana cuba membela seorang gadis yang dianiaya oleh seorang pempimpin politik BN.
“Dakwaan terpilih sentiasa berulang kali berlaku di Malaysia.
“Kita berharap pasukan pembela akan dapat melakukan pembelaan terbaik ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP ini,” katanya.