Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kesal dengan tindakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat penangkapan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, petang semalam sewaktu beliau mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Menurut Dr Wan Azizah, Guan Eng sepatutnya tidak dilayan seperti seorang pengganas dengan puluhan anggota polis mengepung pejabatnya kerana sebelum ini telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM.
“Kami berpendapat tangkapan petang tadi adalah tidak perlu, malah cara ia dibuat dengan kehadiran anggota yang begitu ramai seperti YAB Lim Guan Eng itu seorang penjenayah yang amat berbahaya.
“Penangkapan dan pendakwaan YAB Lim Guan Eng mengukuhkan persepsi rakyat bahawa wujud satu usaha sistematik dan terancang untuk menakut-nakutkan dan mengganggu pimpinan politik tertinggi pembangkang sebelum tibanya PRU14. Malah, umum belum lagi melihat sebarang tindakan diambil SPRM berkaitan skandal-skandal kewangan besar seperti 1MDB dan “derma” RM2.6 bilion.
“Apakah hanya pihak pembangkang yang patut menerima layanan seperti YAB Lim Guan Eng, manakala mereka di pihak kerajaan pula menikmati kekebalan di sisi undang-undang?” tanya beliau dalam satu kenyataan.
Dr Wan Azizah menggesa SPRM melengkapkan siasatan dan membawa ke muka pengadilan semua pihak yang terlibat dalam skandal-skandal kewangan tanpa mengira parti agar terbukti tahap profesionalisme SPRM dan tidak timbul persepsi di khalayak umum bahawa berlakunya pendakwaan terpilih dan terancang.
“Inilah peluang terbaik bagi Tan Sri Dr Abu Kassim, Ketua Pesuruhjaya SPRM, meninggalkan legasi buat SPRM dan membuktikan SPRM bukannya alat politik pemerintah sebelum beliau bersara,” katanya.
Mengulas isu sama, Pengerusi MPN KEADILAN Pulau Pinang Datuk Mansor Othman berkata PKR Pulau Pinang menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Lim Guan Eng dan bersimpati ke atas penahanannya.
“Sejak dari awal lagi serangan demi serangan dilancarkan kepada Guan Eng mengenai isu banglonya. Media arus perdana tidak terlepas memainkan isu tersebut seolah-olah pihak pemerintah begitu nekad sekali dengan kes ini.
“KEADILAN Pulau Pinang percaya bahawa sistem yang bebas tanpa pengaruh dan cengkaman politik akan mampu memberikan jaminan keadilan pada semua,” katanya.