Masyarakat Melayu perlu mengikis sikap “menerima takdir” yang hanya menggalakkan salah laku kuasa di kalangan pemimpin mereka, kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.
Bercakap pada forum “Malaysia: Masih Adakah Harapan?” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) semalam, Khalid berkata orang Melayu sering menyerahkan segala-galanya kepada “takdir Tuhan”.
“Mereka akan puas hati selepas diberi penjelasan ringkas mengenai sesuatu perkara. Memang tepat diperintah seorang diktator,” katanya.
Khalid berkata hanya dengan pemahaman Islam yang betul, mentaliti sebegini dapat diubah.
Bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, PAS pada masa lampau memberi penekanan kepada tiga perkara: aqidah Islam, akhlak yang baik, dan Syariah.
Namun, kumpulan pengganas biasanya memberi tumpuan kepada Syariah, ujarnya.
“Keutamaan PAS dulu adalah kejujuran, akauntibiliti, dan kebajikan rakyat. Tetapi keutamaan mereka kini berubah selepas dipengaruhi puak pelampau.”
Sementara itu, Khalid yang juga merupakan ahi Parlimen Shah Alam berkata beliau menjangkakan PAS akan meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum yang akan datang.