Dakwaan Datuk Seri Najib Razak semalam yang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad gagal membangunkan pengangkutan awam umpama “meludah ke langit”, kata seorang bekas pengarang kanan New Straits Times.
Mustapha Kamil, yang baru-baru ini meletak jawatan sebagai pengarang kumpulan akhbar milik Umno itu, berkata beliau sendiri terlalu malas memikirkan kenyataan dibuat Najib itu.
“Tetapi bukankah ia semacam pepatah Melayu, ‘meludah ke langit’?
“Maksud saya, bukankah dia (Najib) juga dalam kabinet (Dr Mahathir) selama ini?” tulis beliau dalam Facebook pagi tadi.
Semalam, ketika melancarkan Projek Penyambungan Jajaran Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling di Putra Heights, Najib berkata Dr Mahathir gagal menyediakan pengangkutan awam yang mapan walaupun 22 tahun menjadi perdana menteri.
“Bila saya ambil alih tampuk kepimpinan negara pada 2009, kita lihat bahawa salah satu cabaran kita pada masa itu… salah satu kelompongan yang berlaku dalam negara kita ialah masalah pengangkutan awam.
“Ini adalah kerana pemerintah sebelum ini yang memerintah selama 22 tahun tidak mengambil banyak perhatian dalam pembangunan pengangkutan awam dan menyebab berlakunya kelompongan, berlakunya kurang pelaburan, berlakunya sistem yang tidak bersepadu dan dimiliki oleh terlalu ramai pihak,” katanya.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri dari 1981 sehingga 2003.
Di bawah Dr Mahathir, Najib pernah memegang jawatan menteri belia dan sukan (1986-1990), menteri pertahanan (1991-1995) dan menteri pendidikan (1995-2000).