Aktivis masyarakat Marina Mahathir berkata kegagalan pemimpin politik bertindak keatas ulama dan kumpulan muslim yang menghina golongan lain membawa kepada penularan ekstremisme dan pemikiran gaya IS.
Tindakan betul oleh seorang pemimpin negara yang beliau maksudkan adalah “bertindak apabila sesuatu yang tidak betul diucapkan”, katanya.
“Kafir harbi contohnya. Tiada tindakan diambil. Itu baru satu contoh sahaja. Banyak lagi yang diucapkan dalam tahun-tahun sebelum ini.
“Tak ada orang tiba-tiba mahu angkat senjata dan tembak. Ia indoktrinasi yang mengambil masa bertahun. Siapa yang lakukan sesuatu untuk hentikannya. Sekarang ahli politik terkejut dengan serangan yang berlaku. Mereka patut salahkan diri sendiri,” katanya kepada FMT.
Anak kepada bekas perdana menteri itu mengulas pengesahan serangan keatas sebuah kelab malam di Puchong yang mengakitkan lapan orang cedera didalangi pengganas IS.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata 15 orang ditahan termasuk dua anggota polis berpangkat rendah.
“Mereka (ahli politik) patut faham jika melihat semua perkara yang berkaitan. Mereka akan dapat jawapannya. Mereka patut dipersalahkan kerana tidak menyekatnya dari awal.”
Ditanya samada sudah terlewat untuk memastikan golongan belia tidak dipengaruhi untuk menyerang negara, beliau berkata: “Semua dalam tangan ahli politik. Jika mereka berdiam diri, bagaimana nak lawan ekstremisme,” soalnya.
Sebelum itu, beliau berkata di Twitter: “Saya fikir semua orang harus sedar ‘tidak menyertai IS’ bukan sahaj bererti tidak angkat senjata. Ia juga bererti tidak berfikiran seperti IS.”
Sebuah video yang didakwa diterbitkan oleh IS memberi amaran serangan akan dilancarkan terhadap kerajaan Malaysia. Ia menggesa penyokong supaya melancarkan sendiri dengan tikaman pisau atau melanggar orang dengan kenderaan masing-masing.