Jenayah tembakan terancang yang meningkat dalam beberapa bulan terakhir ini mencemaskan rakyat. Pembunuhan terancang atau tembakan rambang tidak menjadi lumrah di negara ini yang amat ketat undang-undang pemilikan senjata api.
Mengulas isu peningkatan jenayah senjata api itu, Ahli Jawatankuasa Nasional Parti Amanah Negara Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata Malaysia seolah-olah negara ‘koboi’ kerana jenayah tembakan melibatkan nyawa manusia yang tiada galang ganti.
“Negara kita seolah-olah sudah menjadi ‘lawless’ (tiada undang-undang). Apakah yang Kerajaan BN sedang buat untuk memulihkan situasi ini?” tanya Nizar Jamaluddin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering meminta kerajaan agar segera bertindak untuk memerangi jenayah tersebut sebelum menjadi trend di Malaysia.
Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad pula menggesa kerajaan mengkaji trend terbaharu ini yang berhubung kait dengan dunia perniagaan. Katanya, jika tidak dibendung pelabur asing akan takut untuk menanam modal di negara ini kerana pertikaian perniagaan boleh berakhir dengan kematian.
“Saya menggesa pihak berkuasa untuk bertindak dengan pantas dan tegas sebab jika keadaan sebegini berterusan maka pelabur asing pasti akan lari,” tegas beliau.
Manakala seorang pemandu teksi di Kuala Lumpur, George Mun, 60, memberitahu Suara pakatan daily beliau semakin takut untuk pergi jauh dan hanya membawa penumpang di sekitar kawasan yang beliau saban hari bekerja berikutan perkembangan terbaharu itu.
“Sudah kerap baca mengenai kes tembak-menembak dalam suratkhabar sekarang. Saya pun sudah rasa takut. Silap-silap salah tempat, salah masa saya kena tembak.
“Mati satu perkara tetapi kalau lumpuh maka semua ahli keluarga terpaksa jaga, sendiri susah dan ahli keluarga pun susah,” kata George dengan nada suara yang resah.
Sejak 21 Jun lalu, sekurang-kurangnya berlaku 5 jenayah tembakan terancang. Pertama melibatkan Bill Kayong, setiausaha PKR Miri yang ditembak mati di persimpangan lampu trafik di Lutong.
Pada hari sama juga dua lelaki adik-beradik cedera ditembak di MRR2 dekat Selayang; pada 29 Jun, seorang pengurus berumur 40 tahun mengalami kecederaan setelah ditembak lima kali di KM3.5 Lebuhraya KL-Seremban; seorang penembak melepaskan 10 das tembakan di hadapan sebuah rumah di Seremban pada 4 Julai lalu dan seorang peniaga wanita ditembak mati dalam keretanya di Taman OUG, KL pada 6 Julai.