Umno parti tertua orang Melayu kini dianggap sebagai alat melindungi dan menjaga kepentingan individu tertentu, secara tidak langsung merosakkan dan melumpuhkan parti, dedah Naib Ketua Umno Bahagian Batu Sapi, Pangiran Roslan Pangiran Nasrun.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ketika mengumumkan beliau keluar parti pada Ahad.
Seramai 600 ahli Umno daripada 100 cawangan di bahagian Batu Sapi itu telah mengumumkan keluar parti serta merta kerana tidak puas hati dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno mengantung jawatan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tanpa dipanggil membela diri.
“Umno kami terima dahulu disebabkan pemimpin dan barisan kepimpinan yang telus dan fokus membantu membela nasib orang Melayu dan Bumiputera di Semenanjung dan di negeri Sabah.
“Walaupun pada awalnya Umno agak sukar diterima di sini, tetapi kami memilih untuk menyertai parti Umno kerana percaya dan yakin dengan perjuangan yang pada ketika itu memang hanya untuk rakyat.
” Tetapi apa yang berlaku pada masa kini adalah parti Umno ini dijadikan alat untuk melindungi dan menjaga kepentingan indvidu tertentu yang secara tidak langsung telah merosakkan dan melumpuhkan parti,” ujarnya.
Katanya, ia menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Umno dan presidennya Datuk Seri Mohd Najib Razak.
“Setiap perjuangan memerlukan pengorbanan, dan disebabkan tidak mahu lagi bersekongkol dengan pemimpin yang menggunakan parti Umno ini untuk kepentingan peribadi yang pada akhirnya akan merosakan masa depan negara dan anak bangsa.
“Saya mengumumkan keluar parti Umno serta-merta kerana sudah hilang kepercayaan kepada Presiden parti dan juga barisan kepimpinannya.
“Tindakan ini saya ambil dengan rela hati, tiada paksaan dari mana-mana pihak. Kepada pengundi di kawasan saya, terima kasih saya ucapkan dan saya akan terus berkhidmat selagi hayat dikandung badan,” ujarnya.
Beliau juga menjangkakan akan lebih ramai ahli yang akan keluar parti.
“Dijangka lebih ramai akan menyusul…” ujarnya.
Sebelum itu pada 27 Jun seramai 300 ketua cawangan Umno Bahagian Semporna keluar parti apabila Naib Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Dr Jaujan Sambakong mengumumkan keluar parti.