Tindakan beberapa pimpinan BN Perak melepaskan jawatan di peringkat negeri merupakan bukti bahawa parti keramat itu di ambang kejatuhan.
Setiausaha Pemuda Amanah Perak, Safarizal Saleh berkata, peletakan jawatan Timbalan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Speakar DUN Negeri, Datuk Seri SK Devamany adalah petunjuk bahawa parti itu tidak dapat diselamatkan lagi.
“Pemuda Amanah Perak melihat kekalutan yang sedang berlaku terhadap kepimpinan BN seperti peletakan jawatan Husni dan Devamany telah merencatkan BN Perak.
“Kedua-dua tokoh besar ini sanggup meninggalkan tugas besar mereka di Perak dan dalam masa sama menunjukkan krisis keyakinan rakyat kepada BN yang berada diambang kejatuhan seperti pernah berlaku pada 2008 lalu,” katanya dalam kenyataan.
Akhir Jun lalu, Husni telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi BN Perak, Bendahari UMNO, Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Menteri Kewangan Kedua.
Devamany yang juga Timbalan Presiden MIC pula melepaskan jawatan Speaker DUN Perak, susulan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas rombakan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mengulas lanjut, rombakan dan perubahan tersebut amat memeranjatkan sekaligus menunjukkan betapa parahnya krisis kepimpinan dalam BN ketika ini.
“Persoalannya mengapa BN tidak mampu tunggu sehingga tamat tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 untuk melakukan perubahan, seolah-olah sudah kesuntukan masa untuk tetap melakukannya?,” tegas beliau.