Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mempersoalkan petisyen muflis ke atas Tabung Haji Heavy Engineering yang diserahkan semasa cuti hari raya baru-baru ini.
Katanya, petisyen itu mempunyai risiko kewangan yang besar terhadap kedudukan kewangan Tabung Haji
“Perkara pertama yang saya akan tumpukan ialah kedudukan Tabung Haji berikutan beberapa perkembangan terkini yang ada risiko kewangan besar kepadanya bermula dengan petisyen muflis ke atas Tabung Haji Heavy Engineering yang diserahkan semasa cuti hari raya tempoh hari. Ada beberapa perkara lagi yang perlu pemantauan segera,” katanya dalam satu kenyataan.
Selepas cuti hari raya, katanya, beliau juga akan menumpukan kepada soal pembiayaan pendidikan tinggi dan pendidikan secara umum.
“Saya akan beri perhatian kepada isu-isu bersabit peluang pekerjaan yang adil kepada rakyat termasuk soal gaji yang adil,” katanya.
Skandal 1MDB katanya, keliahatan tidak akan ke mana-mana walaupun lebih banyak pendedahan telah dibuat.
“Masa yang sibuk dan semoga kita diberi kekuatan untuk terus memilih jalan yang bebas dari rasuah dan penindasan walaupun ramai yang melihat itu jalan yang sia-sia,” katanya.
Kata beliau, hakim kita bukanlah manusia tetapi Allah SWT yang menguji kita dengan semua perkara ini.
“Selamat kembali bergelumang dengan susah payah hidup di Malaysia yang kaya tetapi caca merba,” ujarnya.